YouTubers ‘Mat Saleh’ Ini Kagum Cara Malaysia Tangani COVID-19

Share

Wabak COVID-19 telah menjadi krisis global yang telah memberikan kesan yang sangat luar biasa terhadap kesihatan, ekonomi dan juga pelbagai industri.

Kebanyakan negara telah menjalankan perintah kawalan pergerakan atau lockdown bagi menghentikan penularan wabak ini menjadi lebih teruk.

Begitu juga dengan negara kita yang pada satu ketika mencatatkan jumlah kes yang paling tinggi di Asia Tenggara dan menjadi antara negara kes paling tinggi di Asia.

Namun dengan tindakan pantas daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, Majlis Keselamatan Negara bersama pelbagai agensi kerajaan serta bantuan dari NGO telah menyaksikan penularan ini telah dapat dikawal.

Dedikasi luar biasa daripada frontliners negara yang tidak pernah kenal erti penat dan putus asa juga menjadi salah satu punca mengapa negara kita dianggap sebagai yang terbaik dalam menangani wabak maut ini.

Dan perkara ini turut mendapat perhatian daripada masyarakat global. Seorang YouTubers luar negara menerusi chanel miliknya, Other Side of the Truth berkongsi sebuah video bagaimana negara kita telah melakukan apa yang dianggap mustahil.

Menerusi video berdurasi 5:06 tersebut Malaysia digambarkan sebuah negara yang telah melakukan sesuatu yang mustahil menjadi realiti.

Pada permulaan video dia menjelaskan ketika mula dilanda wabak COVID-19, Malaysia turut berdepan krisis politik.

Namun jelasnya lagi usah memperkecilkan kuasa rakyat Malaysia untuk menangani pandemik COVID-19. Ini juga merupakan video susulan daripada terdahulu yang berjudul ‘Malaysia Coronavirus Incredible Success Story’.

Dia telah menyenaraikan 15 perkara yang dilakukan oleh negara kita yang dianggap mustahil.

1. Bantuan derma dan sukarelawan dari NGO

2. Doktor terbaik – Dr Noor Hosham muncul sebagai figura penting dengan perwatakan tenang dan juga dinaggap antara doktor terbaik tangani COVID-19.

3. Perintah Kawalan Pergerakan dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan. Baginya menjayakan perintah ini memerlukan kerjasama banyak pihak serta tahap kepatuhan rakyat yang tinggi.

4. Sukarelawan secara tidak langsung yang terdiri daripada orang ramai sendiri.

5. Membina hospital sementara di MAEPS dalam masa 3 hari sahaja.

6. Kluster tabgligh yang sangat patuh dan sedia menjalankan ujian saringan.

7. Bank yang memberikan moratorium sehingga 6 bulan kepada pelanggan agar dapat meringankan beban.

8. Universiti yang membenarkan pelajar tinggal di kampus dan diberikan bekalan makanan percuma.

9. Pengenalan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat oleh kerajaan yang membantu pelbagai pihak.

10. Ketika berada di puncak krisis ahli politik meletakkan perbezaan ke tepi bagi sama-sama berganding bahu melawan COVID-19.

11. Perlindungan yang baik kepada golongan gelandangan dan juga pekerja asing.

12. Rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara diberikan penginapan selesa dan makanan percuma sepanjang tempoh kuarantin selama dua minggu.

13. Sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada barisan hadapan.

14. Pereka fesyen, banduan, pelajar kolej dan orang awam yang tampil ke depan untuk membantu menghasilkan PPE kepada barisan hadapan.

15. Tahap kerjasama di peringkat nasional pada paras yang tinggi dan luar biasa.

Itulah 15 sebab mengapa Malaysia berjaya melakukan apa yang dianggap mustahi oleh banyak negara.

Di ruangan komen pula ramai warganet dari Malaysia melahirkan rasa bangga dan bersyukur kerana dilahirkan sebagai anak Malaysia. Setakat artikel ini ditulis video tersebut telah mencatatkan kira-kira 73 ribu views.

Published by
Farizul Izwany Ibrahim