Yahoo Groups ‘Gulung Tikar’ Disember Ini, Bakal Jadi Kenangan Ramai

Share

Sekali berada  di atas tidak semestinya akan selalu kekal di situ. Suatu ketika dahulu nama Yahoo Groups cukup gah dalam dunia siber dan Internet. Boleh dikatakan suatu ketika dahulu semua orag mempunyai akaun e-mel Yahoo. Atau setidaknya menggunakan servis chat Yahoo Messenger.

Malah tidak keterlaluan dikatakan Yahoo memainkan peranan sangat besar dalam mencorakkan budaya penggunaan Internet yang kemudian melalui evolusi seperti sekarang.

Namun begitu segalanya bakal berakhir pada 15 Disember 2020 apabila ia diumumkan akan ditutup operasinya secara keseluruhan. Ia berikutan platform mereka kini dianggap sudah tidak lagi relevan apatah lagi dengan trend penurunan pengguna dan pengunjung dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

Perkara tersebut disahkan semalam menerusi Verizon menerusi laman sesawang Yahoo Group dan e-mel yang dihantar kepada penggunanya. Verizon merupakan pemilik kepada Yahoo yang telah dibeli mereka pada nilai USD4.5 bilion pada tahun 2017.

TIDAK MAMPU BERSAING

Platform atas talian yang dilancarkan pada tahun 2001 tersebut dikatakan juga sebagai tidak mampu untuk bersaing dengan pelbagai platform yang lebih baru dan popular. Manakala ia dianggap tidak ‘bergerak’ dan kurang menarik terutamanya di kalangan generasi baharu.

Verizon juga memberitahu bahawa mereka tidak mempunyai sebarang perancangan untuk melakukan apa-apa langkah pemulihan kepada segmen perkhidmatan berkenaan. Dan penutupan platform ini dilakukan untuk kebaikan semua pihak.

Syarikat telekomunikasi gergasi di Amerika Syarikatg itu turut mengumumkan bahawa pengguna tidak lagi boleh memuat naik kandungan baharu seperti perbincangan menerusi platform berkenaan selepas 21 Oktober ini.

Jika anda masih lagi menggunakan perkhidmatan daripada Yahoo Groups, boleh dapatkan maklumat penting dan lebih lanjut di sini.

Adalah amat penting untuk pengguna yang aktif menggunakan platform mereka bertindak lebih awal untuk melakukan penghijrahan ke platform lain sebelum ia ditutup sepenuhnya.

Published by
Farizul Izwany Ibrahim