Hebat sungguh penangan demam jualan 11.11 yang berlangsung semalam kan. Mana tidaknya lebih 180,000 jenama dari China dan seluruh dunia menyertai acara beli belah itu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Daniel Zhang, berkata ini menunjukkan pertumbuhan 27 peratus berbanding 2017.
“Pembabitan keseluruhan ekosistem Alibaba membolehkan jenama kami dan rakan perniagaan berhubung dengan pelanggan seperti yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Untuk masa hadapan, Alibaba akan terus menerajui evolusi ke arah ekonomi digital dan gaya hidup,” katanya pada sidang media, di Shanghai yang diadakan sempena acara beli belah dalam talian itu yang juga dikenali sebagai gala beli belah 11 berganda (11.11).
Katanya, kumpulan berkenaan juga akan terus berinovasi menurut kehendak gaya hidup masyarakat yang akan berubah selaras pembangunan teknologi dan model baharu perniagaan.
Zhang percaya, dalam masa 5 dan 10 tahun akan datang, (acara) tahunan 11.11 akan berlainan dan Alibaba akan terus berinovasi untuk melaksanakan perubahan yang dibawa oleh teknologi baharu,” tambahnya.
Acara beli belah 24 jam dalam talian yang juga dikenali sebagai Singles’ Day (Satu Hari) itu merekodkan 69.3 bilion renminbi (RM41.7 bilion) GMV melalui Alipay hanya dalam masa satu jam dan 48 minit.
Acara itu turut mencatatkan rekod baharu kerana 6.9 bilion renminbi (RM4.1 bilion) keseluruhan GMV dilunaskan melalui Alipay pada satu minit dan 25 saat pertama selepas dimulakan pada jam 12 tengah malam 11 November juga memecah satu lagi rekod kerana mencatatkan 150 bilion renminbi (RM90 bilion) daripada keseluruhan GMV dalam masa 12 jam 8 minit dan 40 saat berbanding tahun lepas (21 jam, 12 minit, 35 saat).
Pada festival 2018 itu, lebih 40 peratus pelanggan membuat pembelian jenama antarabangsa dan 237 jenama yang melepasti 100 juta renminbi GMV, termasuk jenama seperti Apple, Dyson, Kindle, Estee Lauder, L’Oreal, Nestle, Gap, Nike dan Adidas.
Lazada menyertai 11.11 sebagai sebahagian ekosistem Alibaba, membawakan festival itu kepada pelanggan di Singapura, Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina dan Vietnam.
Sumber : Bernama