Berita

World #QuranHour 2025 Angkat Surah Al-Saff

Share

Ramadan bukan sekadar bulan ibadah, tetapi juga bulan untuk kita bermuhasabah dan memperkukuh jati diri sebagai seorang Muslim. Dalam semangat menyemarakkan bulan suci ini, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) kembali dengan penganjuran World #QuranHour 1446H.

Kali ini tampil dengan membawa tema penuh makna, #SavingTheUmmah, berpandukan Surah Al-Saff. Acara yang dinanti-nantikan ini bakal berlangsung pada 25 Mac 2025 bertempat di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, program ini dijadualkan bermula jam 12 tengah hari hingga 1 petang, menghimpunkan umat Islam untuk bersama-sama membaca, memahami, dan menghayati ayat-ayat suci Al-Quran.

Menyatukan Ummah dengan Surah Al-Saff

Dalam menyelami makna dan pengajaran Al-Quran, pemilihan Surah Al-Saff sebagai surah utama World #QuranHour 1446H bukanlah sesuatu yang kebetulan.

Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff, menjelaskan bahawa surah ini mengandungi seruan penting kepada umat Islam untuk bersatu, menghindari perpecahan, dan mencontohi semangat Hawariyyun – golongan yang setia mendukung perjuangan Nabi Isa dalam menegakkan agama Allah.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff. Foto – Sinar Harian

Sejarah membuktikan bahawa sesuatu bangsa dan peradaban hanya mampu bertahan apabila kesatuan menjadi teras utama.

Dalam dunia yang semakin mencabar dengan pelbagai krisis dan cabaran global, seruan Surah Al-Saff ini amat relevan bagi membangkitkan kesedaran tentang pentingnya kesatuan, keikhlasan, serta keteguhan iman dalam memperkukuhkan ummah.

10 Tahun Mencipta Gelombang Al-Quran

Sejak diperkenalkan pada tahun 2015, World #QuranHour telah berkembang menjadi satu gerakan global yang berimpak tinggi.

Dengan pelbagai inisiatif seperti Arafah #QuranHour, Malaysia #QuranHour, dan World #QuranConvention, kempen ini telah mencapai 7.89 bilion capaian di media sosial, membawa mesej Al-Quran ke serata dunia.

Peranan media tempatan dan antarabangsa dalam memperkasakan kempen ini tidak boleh dinafikan.

Sinergi antara pelbagai platform media telah membantu dalam memperluaskan lagi gelombang baca, faham, dan amal Al-Quran kepada lebih ramai individu dan komuniti.

Tema #SavingTheUmmah bukan sekadar slogan, tetapi satu tanggungjawab bersama. Dengan cabaran sosial, politik, dan ekonomi yang melanda dunia Islam hari ini, umat Islam perlu kembali kepada asas yang kukuh.

Perli kembali berpandukan wahyu Ilahi dalam setiap aspek kehidupan. Melalui World #QuranHour, kita bukan sahaja mendekatkan diri kepada Al-Quran tetapi juga mengambil langkah proaktif dalam menyebarkan mesej kebaikan dan perpaduan.

Sebagai individu, kita boleh menyumbang dengan menyertai program ini, menyebarkan kesedaran kepada keluarga dan rakan-rakan, serta mengamalkan nilai-nilai Al-Quran dalam kehidupan seharian.

BACA: Sunnah Memakai Cincin, Pelengkap Gaya Lelaki Muslim

Setiap usaha, sekecil mana pun, mampu memberi kesan besar dalam usaha menyelamatkan ummah.

Justeru, marilah kita bersama-sama menyertai World #QuranHour 1446H pada 25 Mac 2025 dan menjadikan Ramadan ini lebih bermakna dengan mendekatkan diri kepada Al-Quran.

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

 

Published by
Farizul Izwany Ibrahim