WARNA DAN GRAFIK BAHARU HONDA RS150R- HARGA SARANAN MENINGKAT!

Share

Model kapcai Honda RS150R dilancarkan pada Jun 2016. Setelah setahun berada di pasaran, Boon Siew Honda (BSH) tidak menunggu lama untuk melakukan kitaran produk pada motosikal popular mereka itu.

Model RS150R 2017 kini diperkenalkan dengan tiga warna baharu iaitu Pearl Metalloid White (putih), Candy Scintillate Red (merah) dan Pearl Nightfall Blue (biru). Tidak ketinggalan warna sedia ada iaitu edisi Repsol.

Selain tawaran warna baharu, pihak BSH turut mengemas kini penampilan RS150R. Pada bahagian badan kapcai tersebut kini dipadankan dengan grafik jalur baharu.

Bahagian mekanikal masih kekal sama menggunakan enjin 150cc DOHC sistem penyejukan cecair yang mampu menghasilkan kuasa 15.4hp dan tork 13.5Nm. Penghantaran kuasa ke roda belakang disalurkan menerusi kotak gear enam kelajuan.

Honda RS150R sudah pun berada di pusat jualan bermula hari ini. Harga yang disarankan oleh BSH ialah RM 8,478.94 bagi varian berwarna merah dan biru manakala RM 8,796.94 (putih dan edisi Repsol). Jika dibandingkan, anggaran harga jualan RS150R meningkat berbanding harga saranan pertama kali ia dilancarkan.

Model tersebut didatangkan dengan waranti dua tahun atau jaminan kilang 20,000 kilometer (yang mana tiba terdahulu).

Published by
webadmin