Warganet Kagum Kelab Bola Sepak Blackburn Rovers Sediakan Imam & Ruang Khas Untuk Solat Maghrib

Share

Sukan bola sepak itu seharusnya menyatukan bukan memisahkan. Itulah yang sering kita dengar menerusi pelbagai kempen yang dijalankan oleh penganjur kejohanan serta kelab bola sepak di seluruh dunia terutamanya di Eropah.

Walaupun masih wujud masalah diskriminasi perkauman di dalam sukan tersebut namun masih ada sinar positif untuk kita terus melihat ke hadapan. Dengan masyarakat yang kini bersifat lebih global dan bercampur, toleransi menjadi kunci utama kejayaan sesebuah penganjuran sukan.

Salah sebuah kelab yang dipuji ramai dengan sikap terbuka dan toleransi mereka ialah Blackburn Rovers. Juara Liga Perdana Inggeris pada tahun 1995 yang terkenal dengan barisan pemain legenda seperti Alan Shearer, Chris Sutton, Tim Flowers dan Grame Le Saux kini beaksi di liga kedua iaitu EFL.

Terbaru pendekatan kelab ini yang mendapat pujian warganet seluruh dunia ialah menyediakan ruang solat dan juga imam untuk solat Maghrib di stadium mereka. Menerusi satu hantaran di Facebook rasminya, Blackburn Rovers menyatakan mereka peka memahami tuntutan orang Islam yang perlu menunaikan solat Maghrib yang merupakan kewajipan.

Selaras dengan itu, kelab tersebut mengambil keputusan untuk menyediakan ruang khas di Jack Walker Stand sebagai tempat solat berjemaah.

Lebih menarik, solat Maghrib tersebut akan didirikan secara berjemaah yang bakal diimamkan oleh pemegang tiket bermusim, Hafiz Zayd pada jam 8.55 malam waktu tempatan.

“Penyokong beragama Islam yang menghadiri perlawanan di laman sendiri menentang Hartlepool United Rabu ini, kami faham anda perlu menunaikan solat Maghrib pada jam 8:55 malam.

“Sila patuhi arahan daripada petugas kerana kami telah menyediakan ruang solat di Jack Walker Stand.” tambah mereka lagi.

Jelas mereka, Hafiz Zayd adalah seorang peminat mereka dan pemegang tiket bermusim. Selain itu, bilik untuk pelbagai agama di Blackburn End juga terbuka kepada sesiapa dan bukan sahaja melibatkan perlawanan itu.

“Pihak Blackburn Rovers sangat memahami kewajipan solat fardhu terutamanya bagi penyokong (beragama) Islam kami. Mereka juga turut bertanggungjawab dan berbangga kerana dapat menyediakan peruntukan tersebut di Ewood Park”.

Rata-rata komen memuji tindakan yang dilakukan oleh Blackbunr Rovers sama ada peminat mereka sendiri atau peminat kelab lain. Malah warganet berbilang agama turut memuji keterbukaan dan sifat toleransi yang ditunjukkan oleh kelab yang dianggap mereka boleh dijadikan contoh kepada kelab lain.

Ini bukan kali pertama pendekatan ini dilakukan. Pada Hari Raya Aidilfitri yang lalu juga Blackburn Rovers menjadi kelab bola sepak pertama menganjurkan solat hari rata di United Kingdom.

Published by
Farizul Izwany Ibrahim