Warganet Gusar Selepas Dapati Separuh Penumpang Penerbangan Pelancong China Ke Itali Positif COVID-19

Share

Di sebalik kehidupan kita yang hampir kembali normal sebelum tercetusnya pandemik COVID-19 masih ada kebimbangan yang cukup relevan. Walaupun rata-rata kini sudah ramai yang tidak memakai pelitup muka di kawasan terbuka namun ia tidak bermakna rakyat kita tidak endah akan wabak ini.

Negara kita kini mencatatkan kes harian yang bolehlah dikatakan cukup rendah dengan jumlah kematian yang tidak terlalu signifikan. Tapi sifat waspada itu masih ada kerana majoriti daripada kita semua tidak lagi mahu berdepan situasi ‘lock down’ yang telah banyak menjejaskan kehidupan ramai orang.

Jadi tidak hairanlah apabila ada berita tentang penerbangan pelancong dari China ke Itlai didapati separuh dari mereka positif COVID-19 cukup menggusarkan warganet di negara kita dan juga seluruh dunia.

Image by Drazen Zigic on Freepik

UJIAN PENGESANAN MANDATORI

Memetik laporan SkyNews, dua penerbangan ke Milan merupakan antara yang pertama mengikuti ujian pengesanan mandatori ke atas pelancong atau pengembara dari China. Dalam penerbangan pertama seramai 35 dari 92 orang penumpang negara tersebut didapati positif.

Manakala dalam penerbangan yang kedua dari 120 penumpang seramai 62 orang didapati positif. Ia merupakan satu angka yang cukup tinggi. Perkembangan terbaru ini juga memaksa beberapa negara memperketatkan semula kemasukan pelancong negara tersebut dan salah satuya ialah Amerika Syarikat.

Foto: Andy Wong/AP Photo

Rabu lalu, AS menjadi negara kelima memperketatkan kawalan kemasukan pegembara dari China. Dalam perkembangan yang sama, Hong Kong telah melucutkan regulasi kuarantin untuk mereka yang didapati positif.

Dijangkakan jutaan rakyat China akan ke luar negara sempena kemunculan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi. Dan keterujaan mereka sangat tinggi memandangkan ini merupakan kali pertama mereka boleh berbuat demikian sejak tahun 2020.

DOS PENGGALAK

Di negara kita, Ketua Pengarah Kesihatan di Kementerian Kesihatan Malaysia, Tan Sri Datuk Dr Haji Noor Hisham Abdullah turut mengulas berkenan perkara ini. Dalam satu kenyataannya di media sosial beliau menggesa mana-mana rakyat Malaysia terutamanya barisan hadapan dan kumpulan berisiko tinggi untuk mengambil suntikan dos penggalak.

“Melihat kepada perkembangan terkini di negara China, KKM ingin menyarankan kepada semua untuk mendapatkan dos vaksin penggalak terutamanya barisan hadapan dan kumpulan berisiko tinggi. Walaupun terkini kes dalam negara masih terkawal dan menurun, kita perlu mengambil tindakan bersiap siaga,” jelasnya.

Rata-rata warganet turut melahirkan kebimbangan mereka akan perkembangan terbaru ini. Malah ramai yang mencadangkan kerajaan mengetatkan kemasukan pelancong dari negara tersebut.

“Just control them from entering our country-lah. Dah nak CNY ni,” kata seorang warganet. Manakala ada juga seakan mendapat deja-vu melihatkan perkembangan ini dengan membandingkannya ketika awal penularan dahulu.

Walau apapun kita semua harus sama-sama membantu satu sama lain dengan terus mengambil langkah proaktif mengelakkan penularan. Pakailah pelitup muka bila di kawasan tertutup atau ramai orang.

Jika mempunyai simptom pakailah pelitup muka dan kalau mereka yang bekerja ambillah cuti dan kerja dari rumah.

Semoga negara kita akan terus dilindungi olehNya.

Jangan lupa subscribe YouTube MASKULIN untuk seleksi video menarik di bawah.

Published by
Farizul Izwany Ibrahim