Hubungan

Wanita Cantik Dari Singapura Tawar RM6,600 Cari Lelaki Idaman

Share

Demi mencari lelaki idaman, wanita cantik dari Singapura ini sanggup membayar SGD2,000 (RM6640) kepada sesiapa yang memperkenalkannya kepada lelaki idaman.

Memetik laporan dari The Straits Times, inilah langkah berani diambil oleh seorang wanita bernama Bella Dai yang berusia 29 tahun. Dia yang juga merupakan seorang usahawan kesejahteraan yang mahu mengambil pendekatan lebih strategik dalam mencari pasangan hidup.

Bukan sekadar menunggu cinta jatuh dari langit, Bella menggunakan taktik mirip pemasaran untuk memudahkan pencariannya.

Foto hiasan

Dia menetapkan beberapa syarat yang cukup spesifik. Antaranya lelaki itu harus berusia 25 hingga 42 tahun, menetap di Singapura, memiliki kepakaran dalam bidangnya, berminat dalam kesihatan dan kecergasan, serta terbuka kepada pembangunan spiritual.

Tawaran ini bukan sekadar imbuhan mudah, kerana wang hanya akan diberikan jika perkenalan itu berkembang menjadi hubungan serius yang bertahan sekurang-kurangnya enam bulan.

Pemasaran Diri dalam Dunia Dating

“Jika saya adalah produk, bagaimana saya boleh memasarkannya?” kata Bella, yang percaya bahawa mencari pasangan juga memerlukan strategi seperti membina jenama.

Pendekatan ini mungkin kelihatan ekstrem, tetapi sebenarnya masuk akal. Jika kita melaburkan masa dan wang untuk membina kerjaya, mengapa tidak dalam soal cinta?

Seperti dalam bisnes, ‘networking’ memainkan peranan penting. Bella menyedari bahawa rakan-rakannya lebih memahami dirinya dan boleh membantu mencari pasangan yang lebih sesuai berbanding algoritma aplikasi janji temu.

Dalam dunia dating, satu cabaran besar ialah ketidakpastian—sama ada seseorang itu serius atau sekadar mahu mencuba.

Hantaran Bella di Instagram. Foto: Bella Dai

Menurut tinjauan YouGov 2024, ramai pengguna Tinder di Singapura hanyalah ‘social daters’ yang mencari kenalan, bukan pasangan serius.

Bella percaya bahawa dengan menjadikan rakan sebagai perantara, dia dapat mengelakkan pertemuan dengan individu yang tidak serius dan juga mengurangkan risiko ‘ghosting’.

Selain itu, lelaki yang diperkenalkan oleh rakan lebih cenderung untuk berkelakuan baik kerana mereka tahu reputasi mereka turut dipertaruhkan. Ini berbeza dengan aplikasi janji temu, di mana seseorang boleh hilang tanpa jejak selepas satu pertemuan.

Bukan Sekadar Trend, Tetapi Strategi

Walaupun strategi Bella kedengaran luar biasa, dia bukan orang pertama yang mencuba cara ini.

Pada 2024, seorang pekerja teknologi di Amerika Syarikat, Anatoliy Zaslavskiy, menawarkan ganjaran US$100,000 kepada sesiapa yang memperkenalkannya kepada pasangan hidupnya. Walaupun ramai mengejek langkahnya, dia tetap meneruskannya dengan harapan dapat menemui cinta sejati.

BACA: Senaman Mudah Sebelum Waktu Berbuka, Barulah Kekal Aktif dan Bertenaga

Bagi lelaki yang serius mencari pasangan, kisah Bella memberi inspirasi bahawa mencari cinta bukan hanya tentang menunggu tetapi mengambil tindakan. Jika kita boleh menggunakan strategi dalam dunia pekerjaan, mengapa tidak dalam hubungan peribadi?

Bella menegaskan bahawa strategi ini tidak semestinya perlu dilakukan secara terbuka seperti yang dilakukannya.

“Yang penting, kita perlu letakkan diri dalam kalangan yang betul,” katanya. Dalam dunia yang semakin sibuk dan penuh dengan gangguan digital, mungkin sudah tiba masanya untuk lebih proaktif dalam mencari cinta.

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

 

Published by
Farizul Izwany Ibrahim