Wajah seorang lelaki berambut panjang berswafoto bersama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan tagline ‘Malu Apa Bossku?’ tular dalam media sosial beberapa hari ini.
Setelah disiasat dan ditemubual, Maskulin mendapat tahu nama sebenarnya adalah Mohd. Nor Kharoni Kamisan atau lebih mesra disapa dengan panggilan Ron dan dia rupa-rupanya merupakan seorang ahli perniagaan.
Lebih menarik, dia adalah Pengarah Urusan ‘Lepaking’, tempat makan hipster yang berlokasi di Jalan Gombak.
Lepaking menjadi bualan ramai sehingga ke hari ini dalam kalangan warga kota kerana dekorasi yang berasaskan kontena itu sangat unik dan rare.
Bertatih dari bawah
Kongsi Ron kepada wartawan Maskulin, dia mula membina pengalaman dan bekerja sebagai penjual burger serta char kuetiau sejak usia 19 tahun.
Kemudian menjengah usia 21 tahun pula, dia melibatkan diri dalam sebuah syarikat pembinaan selama tujuh tahun sehingga berusia 27 tahun.
Selepas itu, Ron membuka pusat perincian kereta dan motorsikal dan dari situlah berputiknya hasrat untuk menjalankan perniagaan sendiri dengan lebih gigih.
Pernah hadapi kesukaran
Idea untuk membangunkan Lepaking ini sebenarnya sudah tercetus sejak tahun 2016 lagi dan ujar Ron, perancangan itu telah lengkap tersedia dengan kertas kerja dan sebagainya.
Oleh kerana kekurangan dana pada masa itu, hasratnya yang menggunung terpaksa disimpan buat seketika dan lebih menyakitkan pada tahun 2017, dia menghadapi krisis ekonomi.
Ujar Ron, tahun itu sangat malang baginya kerana itu pertama kali dalam hidupnya dia diuji dengan tidak memiliki sebarang pendapatan dan hanya memiliki sebuah motorsikal sahaja.
Itu pun sudah tamat tempoh cukai jalannya dan terpaksa dibawa ke sana ke mari demi mencari rezeki yang halal.
Bangkit selepas jatuh
Walaupun pernah menerima kritikan daripada orang sekeliling yang cuba merendah-rendahkan impiannya, Ron akur dan hadapi semua itu dengan tenang bersama semangat yang baharu.
Hasilnya pada tahun 2018, biar pun terpaksa bersusah-payah terlebih dahulu, dia berjaya membuka tempat makan hipster dalam Kuala Lumpur, Lepaking yang semakin mendapat perhatian masyarakat.
Bukan itu sahaja, rentetan daripada rezeki yang Tuhan kurniakan itu, Ron berpeluang membuka sebuah kedai motorsikal yang diberi nama Aerox Clinica yang berlokasi di Seksyen 5, Wangsa Maju.
Perlu sentiasa bersikap positif
Mengimbau kejayaan yang diterima hari ini, Ron mengakui sikap positif antara faktor penting yang berjaya membuatkan dia fokus untuk menggapai cita-citanya.
Masam manis kehidupan
Kongsi Ron, untuk mengenali siapa sahabat sebenar, lihatlah siapa mereka yang ada sewaktu kita susah
. Dari situ, kita dapat mengenal siapa kawan atau sahabat sejati. Tambahnya, dia cukup bertuah kerana memiliki rakan sering memberikan kata-kata semangat dan banyak menghulurkan bantuan.Selain itu jika mahu berjaya, perasaan malu harus dibuang sejauh-jauhnya dan jangan sesekali mudah marah atau melatah jika berdepan dengan cabaran kerana ia adalah sebahagian daripada proses untuk mematangkan kita.
Dalam masa sama, Ron turut menegaskan, seseorang itu perlu berani untuk mencuba sesuatu yang baharu biar pun berisiko dan itulah antara inisiatif yang dilakukannya sehingga Alhamdulillah, berjaya mendapat apa yang diinginkan.