VITILIGO CACAT KEKAL
Vitiligo merupakan sejenis penyakit kulit yang mana penghidapnya mempunyai kulit bertompok-tompok putih (tanpa pigmen). Timbulnya tompok putih pada kulit berpunca apabila sel-sel yang menghasilkan pigmen iaitu melanosit dirosakkan antibodi pesakit itu sendiri.
Kerap terjadi kepada mereka berumur di bawah 20-an, namun ia boleh menyerang sesiapa sahaja. Tompok putih ini juga boleh terjadi di kawasan yang mempunyai rambut atau bulu seperti kening, misai, bulu roma dan sebagainya. Walaupun tidak menyebabkan rasa sakit atau gatal, namun ternyata ia memberi efek pada kualiti hidup pesakit.
PUNCA PENYAKIT
Vitiligo kajian menyatakan penyakit ini terjadi disebabkan kemusnahan sel melanosit. Kajian para ilmuan kesihatan global dari Universiti Menchester yang ditulis di dalam jurnal kesihatan, mereka membuat kesimpulan bahawa terdapat beberapa faktor menyokong keadaan ini. Antaranya adalah;
1- Gangguan autoimun. Ini merujuk kepada sistem kekebalan tubuh pesakit yang secara tiba-tiba menjadi terlalu aktif, lalu membunuh dan menghancurkan melanosit.
2- Trauma dengan geselan. Keadaan geselan pada permukaan tertentu di tangan, kaki, siku, lutut mahupun pergelangan tangan.
3- Cahaya matahari. Pesakit yang dilahirkan cukup sensitif dengan cahaya matahari sehingga membunuh sel-sel kulit seterusnya menhancurkan melanosit.
4- Terdedah kepada bahan-bahan kima tertentu
5- Faktor keturunan dan genetik. Ahli keluarga terdahulu yang pernah mengalami penyakit kulit yang sama.
6- Kehilangan pigmen yang terjadi pada seseorang secara tiba-tiba.
KOMPLIKASI RAWATAN
Selain menyebabkan cacat kekal pada kulit, merawat Vitiligo juga cukup kompleks dan boleh mengambil masa berbulan-bulan hingga bertahun. Berdasarkan kenyataan media oleh Pakar Perunding Dermatologi Hospital Pakar Ampang Puteri, Dr. Mazlin Mohd. Baseri, rawatan penyakit Vitiligo bergantung pada beberapa faktor, termasuk keluasan permukaan kulit dan jenis Vitiligo itu. Antara rawatan yang disarankan adalah:
1-Rawatan first line iaitu menggunakan krim yang mengandungi bahan immunomodulator yang akan mengurangkan atau memberhentikan kerosakan melanosit.
2-Rawatan photo therapy yang menggunakan pancaran cahaya ultra violet juga boleh dilakukan di hospital yang mempunyai kemudahan tersebut.
3- Rawatan laser excimer dan pembedahan melibatkan kaedah pemindahan sel kulit atau melanosit yang diambil dari kulit normal pesakit.
PATUT TAHU
1- Penyanyi terkenal Michael Jackson semasa hayatnya menderita sakit kulit kerana masalah vitiligo.
2- Vitiligo bukanlah panau dan ia juga bukan albino, walaupun simptom dan keadaannya lebih kurang sama.
3- Berdasarkan kajian WHO, penyakit Vitiligo ini sudah menyerang hampir 3 peratus daripada populasi dunia. Ini bermakna dalam 100 orang, tiga orang daripadanya menghidap vitiligo.
4- ‘Kelakuan’ penyakit ini susah diramal kerana sesetengah pesakit mengalaminya dan merebak ke kawasan lain dengan cepat. Ada pesakit yang stabil iaitu tompokan tidak berubah menjadi lebih besar atau banyak.