Versi Baharu Volvo XC40 Recharge Pure Hadir Sepenuhnya Elektrik

Share

Tidak dapat dinafikan kesedaran terhadap pentingnya kenderaan yang lebih mesra alam seperti kereta elektrik semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

Sambutan terhadap pelbagai model kereta elektrik di pasaran cukup memberangsangkan. Boleh dikatakan setiap satu daripadanya hadir dengan spesifikasi yang cukup menarik.

Salah satu jenama automotif yang sentiasa komited memperkasakan teknologi hijau ini ialah Volvo. Terbaru, Volvo Car Malaysia mengumumkan versi serba baharu bagi Volvo XC40 Recharge Pure Electric dan siri XC40 yang lain dengan model tahun 2023 (MY23).

XC40 Recharge Pure Electric merupakan EV pertama yang diperkenalkan oleh Volvo Car Malaysia pada bulan Mac 2022.

Sehingga kini sambutan yang diterima untuk kereta elektrik ini sangat menggalakkan. Menurut Volvo, mereka berjaya mendapatkan lebih daripada 400 pesanan dalam masa dua bulan sejak pelancarannya.

Kesemua unit juga telah berjaya diserahkan kepada pembeli pada bulan Jun 2022 yang lepas. XC40 Recharge Pure Electric juga merupakan model kereta Volvo pertama yang disediakan melalui tempahan atas talian.

Kereta elektrik sepenuhnya ini bukan sahaja kereta elektrik yang pertama dijual sebagai CKD (Completely Knocked Down), malah ia sangat bergaya dan berkuasa.

Para pelanggan boleh menikmati keselesaan pemecutan yang lancar tanpa sebarang pelepasan ekzos untuk pemanduan ke arah masa depan yang mampan dan lebih selamat.

XC40 Recharge Pure Electric model baharu tahun 2023 dijual pada harga RM278,888** dan ia didatangi dengan ciri-ciri baharu seperti berikut:

• Warna baharu ‘FJORD BLUE’;
• Remote Air Purifier PM2.5 pra-pembersihan;
• Reka bentuk bahagian depan dan rim yang dikemas kini
• Tekstil dalaman Charcoal Connect Suede;
• Updated Foot Movement Detection Module (FMDM);
• Tuil gear baharu dengan penukar gear charcoal tanpa kulit.

Jelas Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia, Charles Frump berkata, “Sambutan yang dicapai oleh XC40 Recharge Pure Electric telah menunjukkan bahawa Volvo sedang menuju ke arah yang positif, seiring dengan cita-cita elektrifikasi kami”.

“Sejak memperkenalkan agenda elektrik kami, kami sentiasa mencari jalan untuk meningkatkan pengalaman pemanduan pelanggan. Dengan kemas kini yang terbaru bagi XC40 Recharge Pure Electric model tahun 2023, kami percaya para pelanggan Volvo akan menikmati peningkatan pengalaman pemanduan yang baru dan seterusnya memberi mereka kebebasan untuk bergerak secara selamat, mampan dan peribadi.”

Kemas kini untuk model tahun 2023 juga disediakan untuk XC40 Recharge T5 Ultimate (Plug-in Hybrid) dan XC40 B5 Ultimate (Mild Hybrid). Kedua-dua kenderaan ini ditawarkan pada harga RM268,888**. Kedua-duanya juga akan turut mendapat pengubahsuaian reka bentuk termasuk perubahan Dynamic Chassis.

Selain daripada it, XC40 Recharge Pure Electric baru-baru ini telah memenangi anugerah ‘Best Small Electric SUV’ oleh CarSifu Editors’ Choice Awards 2022 dan ia turut diiktiraf sebagai kenderaan elektrik pemasangan tempatan yang pertama dengan anugerah ‘Special Recognition Award’. Kenderaan ini juga dieksport ke negara-negara jiran di ASEAN.

Pelanggan yang berminat kini boleh membuat pembelian model-model XC40 melalui atas talian menerusi laman sesawang rasmi Volvo Car Malaysia di www.volvocars.com/my/build/xc40-electric. Model-model MY23 XC40 didatangkan dalam enam pilihan warna iaitu Black Stone, Crystal White, Sage Green, Silver Dawn, Thunder Grey dan warna yang terbaharu Fjord Blue.

Published by
Farizul Izwany Ibrahim