
Model Yamaha Fazer 250 yang bakal dilancarkan dalam masa terdekat akhirnya tertangkap tanpa sebarang kamoflaj.
Imej model itu yang kini sedang bertebaran di laman online automotif India tidak ditutup dan reka bentuknya boleh dilihat dengan jelas. Hanya lencana dan nama model ditutupi dengan pelekat.
Buat makluman, Fazer 250 merupakan versi fairing sport touring model Yamaha FZ25 di India.
Yamaha Fazer 250 banyak berkongsi bahagian dengan model FZ25 bermula dari enjin, casis, pelana, tangki minyak, sub rangka dan lampu depan.
Menyentuh soal rekaan, pandangan depan kelihatan agak aneh. Penulis sendiri perlukan masa untuk memahami rekaan yang ditampilkan. Dari fairing sisi sehingga ke depan ia direka lebih berotot dengan perincian yang begitu menonjol pada pandangan depan.
Fairing direka lebih muskular dan menjadikan lampu depannya kelihatan kecil. Motosikal berkenaan menampilkan kemasan warna dua tona sama seperti versi naked. Bahkan, konsol instrument digital turut menggunakan unit yang sama.
Motosikal dengan fairing penuh menyumbang kepada rintangan angin lebih rendah. Sekali gus satu kelebihan ketika menunggang jauh. Cuma tambahan fairing menyebabkan ia lebih berat beberapa kilogram berbanding FZ25.
Yamaha Fazer 250 menggunakan enjin 249cc sama seperti Yamaha FZ25. Enjin itu mampu menghasilkan kuasa 20.9PS pada 8000rpm dan tork tinggi 20Nm pada 6000rpm. Penghantaran kuasa ke roda belakang dibantu oleh kotak gear 5-kelajuan.
Jentera itu menggunakan suspensi fork teleskopik di depan dan monoshock di belakang. Manakala keyakinan membrek diserahkan kepada brek cakera 282mm di depan dan 220mm di belakang. Kehadiran Fazer 250 bakal bersaing dengan Bajaj Pulsar RS 200, KTM RC 200 dan Honda CBR250R.
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
KLIK DI SEENI
DHL Express Teruskan Komitmen Kelestarian Alam Dengan Penambahan E-Bike Dan Van Elektrik

Bukan sahaja di negara-negara maju, Malaysia juga kini melangkah dengan lebih positif dalam memperkenalkan atau menggunakan teknologi kenderaan elektrik.
Sebagai salah sebuah syarikat kurier terbesar, DHL Express terus menguatkan komitmen mereka untuk kelestarian alam.
Terbaru, DHL Express mengumumkan penambahan sebanyak 44 buah van elektrik dan tujuh buah skuter elektrik bagi penggunaan di seluruh Malaysia. Langkah ini dilihat sebagai kesinambungan pencapaian cemerlang mereka sebagai syarikat kurier pertama di Malaysia menggunakan kenderaan elektrik untuk kegunaan logistik pada Oktober 2022.
Skuter elektrik pintar Blueshark R1 adalah penambahan terkini yang digunakan oleh pihak DHL untuk pengambilan dan penghantaran dokumen serta penghantaran parcel yang kecil.
Selain itu, ia menyediakan sokongan despatch ad-hoc untuk urusan surat-menyurat bagi sektor kerajaan. DHL turut bakal mengunakan skuter dua roda ini di laluan operasi mereka di sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang, Melaka dan juga Ipoh.
Setiap e-bike dilengkapi dengan bateri dwi-kapasiti 2.88kWH yang membolehkan jarak NEDC sehingga 110 kilometer dan masa mengecas hanya 3.5 jam daripada sumber kuasa 220 hingga 240V.
PENYELESAIAN BERKESAN
Kelebihan ini tidak hanya memberikan jarak yang memuaskan, tetapi juga menjadikan Blueshark R1 sebagai penyelesaian yang berkesan untuk membawa muatan yang lebih ringan dalam keadaan jalan bandar yang sesak tanpa emisi.
Dengan mengurangkan output CO2e sebanyak 90 peratus berbanding enjin konvensional 150cc, Blueshark R1 memainkan peranan penting dalam mengekalkan kelestarian alam sekitar.
Pengumuman ini juga melibatkan peningkatan jumlah e-van yang beroperasi daripada 10 unit kepada 54 unit, meluaskan liputan ke negeri-negeri lain seluruh negara selain Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, dan Johor.
Pengenalan model CAM EA4 dan Foton iBlue dijangka akan membawa kepada pengurangan kos bahan api sebanyak 74 peratus dan peningkatan kecekapan karbon sebanyak 63.5 peratus berbanding dengan van enjin pembakaran dalaman (ICE) yang digantikan.
Thushan Gooneratne, Naib Presiden Operasi, DHL Express Malaysia, berkata, “Inovasi dalam pembangunan EV telah menghasilkan bukti bahawa kelestarian dan prestasi boleh berjalan seiring.
“Kami yakin dengan peranan kami sebagai pendorong untuk mempercepat penerimaan dan memudahkan perubahan positif dalam sektor logistik.” tambahnya lagi.
PERANCANGAN SETERUSNYA
Pihak DHL Express Malaysia mempunyai rancangan untuk memindahkan 23 peratus daripada semua kenderaan penghantaran last-mile di Malaysia kepada elektrik menjelang akhir 2024.
Langkah ini akan membawa kepada pencapaian sasaran kumpulan untuk memiliki 60 peratus kenderaan elektrik menjelang 2030.
Melalui Internet of Vehicles (IoV) Blueshark, pelanggan kenderaan dapat memantau dan menjejaki kenderaan mereka secara langsung. Ini termasuk data penting seperti metrik prestasi, sejarah pemanduan, keadaan kenderaan, dan julat bateri.
Kecekapan operasional penghantaran dapat ditingkatkan, sambil mengurangkan emisi karbon, melalui operasi Blueshark yang efisien dengan kos tenaga yang lebih rendah.
Elektrifikasi kenderaan adalah langkah utama dalam Jalan Kelestarian Kumpulan DHL, yang melabur sebanyak 7 bilion EUR dalam dekad ini untuk mencapai sifar emisi karbon.
DHL Express kini mempunyai 29,200 EV yang beroperasi di seluruh rangkaian antarabangsa, di mana 27,800 terlibat dalam pengambilan dan penghantaran barang.
Tahniah buat DHL Express kerana meneruskan langkah cukup positif dalam kelestarian alam.
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
KLIK DI SEENI
BMW Malaysia Perkenalkan Fasa Baharu Inovasi Dengan Seleksi Kenderaan Elektrik

Komitmen BMW Group Malaysia dalam inovasi berterusannya dengan membayangkan ketibaan kenderaan elektrik tulen, BMW i generasi yang baharu di Malaysia. Paling menarik ia turut membawakan rangkaian pemacu elektrik yang bersofistikasi tinggi, bahan-bahan yang inovatif lagi lestari, serta teknologi masa hadapan, pada hari ini.
Butiran mengenai jentera BMW iX xDrive40, BMW iX xDrive40 Sport, BMW iX xDrive50 Sport yang sulung telah dirungkaikan, dan kemunculan jentera BMW iX3 dan BMW i4 eDrive40 yang sulung juga telah dibayangkan. Portfolio kenderaan elektrik baharu yang diperkenalkan ini mengetengahkan Strategi Mobiliti Lestari oleh mereka.
Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Hans de Visser berkata, “Fasa ini merupakan pencapaian yang penting bagi BMW Group, lebih-lebih lagi buat BMW Group Malaysia. Kami telah menerajui usaha untuk menggiatkan inovasi, memupuk kesedaran mengenai teknologi yang baharu dan lestari untuk industri automotif, serta membentuk infrastruktur bagi kenderaan berelektrik bertaraf premium di Malaysia sejak tahun 2015.
“Kejayaan kami di Malaysia pada hari ini telah diperkukuh oleh kedudukan kami sebagai peneraju dalam mobiliti berelektrik, yang turut dibuktikan menerusi lebih 2,200 unit kenderaan berelektrik yang berjaya diserahkan pada tahun lalu.”
Beliau turut menyatakan bahawa barisan kenderaan elektrik yang bakal dirungkaikan daripada BMW i akan menjamin “Sheer Electric Driving Pleasure” buat para pelanggan BMW serta peminat EV di Malaysia, tanpa sebarang kompromi. Lebih penting lagi, ia juga bakal mendorong Strategi Kelestarian yang baharu bagi BMW Group di Malaysia.
BMW iX
Konsep perintis, Shy Tech yang pertama seumpamanya turut dimuatkan dalam BMW iX. Ketika tidak digunakan, teknologi moden dan inovasi dalam kenderaan ini akan disamari dengan latar interiornya.
Tambahan lagi, kenderaan ini menampilkan BMW IconicSounds Electric yang turut diperkenalkan buat pertama kali – dibangunkan menerusi kerjasama yang dijalin dengan komposer terkemuka dunia dan pemenang Anugerah Akademi, Hans Zimmer, maka para pemilik dapat menikmati pengalaman pemanduan serba emotif dengan bunyi yang unik bagi model-model BMW dan BMW M.
BMW iX yang sulung melangkaui jangkaan. Jarak operasi WLTP yang mengagumkan, iaitu setinggi 630 kilometer bagi varian BMW iX ini juga telah dirumus agar pengguna tidak lagi perlu bimbang tentang jarak operasi kenderaan elektrik milik mereka. Kenderaan elektrik tulen ini turut menarik perhatian dengan ruang serba minimalis di bahagian dalam, justeru pengguna dapat menikmati pemanduan yang benar-benar menyelesakan.
Perwatakan utama yang jelas berbeza dapat dilihat pada lampu hadapan LED, manakala BMW Laserlights melengkapi BMW iX xDrive40 Sport dan BMW iX xDrive50 Sport. Fungsi Bantuan Memandu (Driving Assistant) dan Bantuan Parkir (Parking Assistant) juga ditawarkan secara standard bagi BMW iX xDrive40, manakala BMW iX xDrive40 Sport dan BMW iX xDrive50 Sport didatangkan dengan Driving Assistant Professional serta Parking Assistant Plus. Kedua-dua variasi Sport ini juga termasuk sistem bunyi keliling Harman Kardon dan Interior Applications Clear & Bold, yang terdiri daripada panel kawalan pada konsol tengah yang diperbuat daripada kayu yang diperakui dan dihasilkan secara lestari. Eksklusif bagi BMW iX xDrive50 Sport yang sulung ialah Stering Aktif Integral (Integral Active Steering) dan suspensi udara 2 gandar yang berciri adaptif.
BMW iX3
Jentera Sports Activity Vehicle (SAV) yang dipacu oleh kuasa elektrik ini menggandingkan dua ciri utama SAV premium saiz pertengahan yang paling laris di dunia, BMW X3, iaitu dinamik pemanduan dan kualiti bertaraf premium, yang antara lainnya turut membawakan tahap prestasi dan kecekapan yang lebih tinggi menerusi teknologi BMW eDrive generasi kelima, lantas menjadikan BMW iX3 jentera yang paling dinanti-nantikan dalam segmennya.
BMW i4
Gran coupé empat pintu yang melambangkan jentera sport bersifat lestari, ia dibangunkan menerusi tumpuan yang khas diberikan ke atas dinamik pemanduan elektrik, BMW i4 merupakan ahli baharu dalam segmen sedan saiz pertengahan bertaraf premium. Sedan sport yang futuristik ini membekalkan output kuasa elektrik setinggi 340 kk, pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.7 saat dan jarak operasi elektrik WLTP mencecah 590 kilometer setelah dicas sekali sahaja.
Pratempahan dan pendaftaran juga dibuka bagi mereka yang berminat untuk memiliki kenderaan BMW i generasi baharu. BMW iX xDrive40 serta BMW iX xDrive40 Sport yang sulung kini sedia untuk dipratempah di platform BMW Shop Online melalui https://shop.bmw.com.my/ dengan bayaran RM 5,000. Mereka yang berminat boleh membuat pendaftaran sekarang untuk memiliki BMW iX xDrive50, BMW iX3 dan BMW i4 eDrive40 melalui pautan yang disertakan ke laman web rasmi BMW.
Pemilik kenderaan elektrik dari portfolio BMW i juga dapat menikmati jaminan bateri sehingga 8 tahun atau 160,000km, mana yang lebih dahulu. 50 pelanggan terawal yang menempah BMW iX xDrive40 dan BMW iX xDrive40 Sport yang sulung juga dapat menikmati tawaran eksklusif yang meliputi pemasangan kemudahan pengecasan secara percuma serta Public Charging Access bertempoh satu tahun secara percuma. Tawaran ini terhad sehingga 22 September 2021, tertakluk kepada terma dan syarat.
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
KLIK DI SEENI
Check Tekanan Angin Tayar Motosikal Yang Tepat, Terutama Musim Hujan Ini!

Musim hujan yang melanda sering kali menyebabkan keadaan jalan raya menjadi licin dan berbahaya, terutamanya bagi penunggang motosikal. Salah satu aspek penting yang sering diabaikan oleh penunggang motosikal ialah tekanan angin tayar.
Walaupun ia kelihatan remeh, namun tekanan angin tayar yang betul adalah salah satu faktor utama dalam memastikan keselamatan dan prestasi motosikal, terutama dalam cuaca basah.

Mengapa Tekanan Angin Tayar yang Tepat Penting?
Tayar yang kurang angin atau terlalu keras boleh menjejaskan kestabilan motosikal, mengurangkan cengkaman pada permukaan jalan, dan meningkatkan risiko kemalangan.
Tayar yang kurang angin meningkatkan geseran dengan jalan, menyebabkan tayar cepat haus dan meningkatkan penggunaan bahan api.
Sebaliknya, tayar yang terlalu keras boleh menyebabkan kurangnya cengkaman, terutamanya di jalan yang licin, serta mengurangkan keselesaan semasa menunggang.
Cadangan Tekanan Angin Tayar untuk Motosikal
Sebagai panduan umum, berikut adalah tekanan angin yang biasanya disarankan untuk motosikal:
- Tayar Depan: 28-32 PSI (193-220 KPA)
- Tayar Belakang: 32-36 PSI (220-250 KPA)
Nota: Tekanan ini adalah panduan umum dan mungkin berbeza bergantung kepada model motosikal, berat penunggang, dan keadaan jalan. Sentiasa rujuk manual pengguna motosikal anda untuk spesifikasi yang lebih tepat.
Cara Memastikan Tekanan yang Tepat
- Rujuk Manual Pengguna Motosikal: Manual pengguna motosikal anda adalah sumber yang paling dipercayai untuk menentukan tekanan tayar yang sesuai. Tekanan tayar yang disarankan oleh pengeluar biasanya dinyatakan dalam PSI (Pounds per Square Inch) atau KPA (Kilopascal). Manual ini juga akan memberikan nilai PSI/KPA untuk tayar depan dan belakang, kerana kedua-duanya memerlukan tekanan yang berbeza.
- Periksa Tekanan Tayar Secara Berkala: Tekanan tayar perlu diperiksa secara berkala, sekurang-kurangnya sekali seminggu atau sebelum perjalanan jauh. Tayar yang terlalu lembik atau terlalu keras boleh menjejaskan kestabilan motosikal. Pastikan anda memeriksa tekanan tayar ketika tayar dalam keadaan sejuk untuk mendapatkan bacaan yang tepat.
- Gunakan Alat Pengukur Tekanan Tayar: Untuk memastikan bacaan yang tepat, gunakan alat pengukur tekanan tayar yang berkualiti. Elakkan bergantung pada pam angin di stesen minyak kerana ia sering tidak diservis dengan baik dan mungkin memberikan bacaan yang tidak tepat.
- Sesuaikan Tekanan Mengikut Keadaan Beban dan Jalan: Tekanan tayar yang disarankan dalam manual pengguna adalah berdasarkan keadaan beban standard. Jika anda sering membawa penumpang atau beban tambahan, tambahkan 2-4 PSI (14-28 KPA) pada tayar belakang untuk mengekalkan kestabilan dan cengkaman tayar. Begitu juga, jika anda sering menunggang di jalan yang kasar atau berlubang, sedikit penyesuaian tekanan mungkin diperlukan untuk meningkatkan keselesaan.
- Ambil Kira Jenis Tayar dan Iklim: Jenis tayar yang digunakan juga boleh mempengaruhi tekanan tayar yang sesuai. Tayar tubeless dan tayar bertiub mempunyai keperluan tekanan yang berbeza. Selain itu, iklim juga memainkan peranan penting. Di kawasan yang panas, tekanan udara dalam tayar boleh meningkat dengan cepat, jadi penting untuk memeriksa tekanan lebih kerap.
Tips Tambahan untuk Menjaga Tekanan Tayar
- Sentiasa periksa tekanan tayar dalam keadaan sejuk untuk bacaan yang tepat.
- Gunakan alat pengukur tekanan yang betul untuk memeriksa tekanan tayar.
- Sesuaikan tekanan tayar mengikut beban tambahan atau jenis jalan yang sering dilalui.
Kesimpulan
Menentukan tekanan tayar yang tepat untuk motosikal kapcai adalah langkah penting dalam penyelenggaraan motosikal.
Dengan tekanan tayar yang betul, anda bukan sahaja meningkatkan keselamatan dan prestasi motosikal, tetapi juga memastikan pengalaman menunggang yang lebih selesa dan ekonomi.
Sentiasa rujuk manual pengguna dan periksa tekanan tayar secara berkala untuk mendapatkan hasil terbaik.
Dengan menjaga tekanan tayar pada tahap yang betul, anda dapat menikmati perjalanan yang lebih selamat dan lancar setiap kali anda berada di atas jalan raya.
Artikel ini diambil dan diolah dari Roda Panas.
BACA LAGI : Tip Penjagaan Suspensi Motosikal Agar Tahan Lama Terutama Musim Hujan
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
KLIK DI SEENI