Inspirasi

Usia 70 Tak Halang Jackie Chan! Aksi Lasaknya Buat Kru Produksi Terkedu

Share

Jackie Chan, pelakon legenda Hong Kong yang terkenal dengan kehebatan melakukan aksi lagak ngeri sendiri, terus menunjukkan semangat lasak walaupun sudah mencecah usia 70 tahun.

Baru-baru ini, ketika menjalani penggambaran filem ‘Panda Plan’, Jackie Chan mendedahkan bahawa dia pernah pengsan sewaktu melakukan salah satu adegan berbahaya.

Ketika insiden tersebut, wajah Jackie dikatakan kelihatan ‘kosong’ seolah-olah tidak sedar apa yang berlaku di sekelilingnya.

“Tiba-tiba, saya rasa lemah dan seperti mahu rebah. Kru terus berlari ke arah saya untuk memastikan semuanya okay.

“Saya pun terkejut dan tanya pada mereka, ‘Apa dah jadi?’ Bila mereka cakap saya pengsan, rasa macam tak percaya pula. Mungkin sebab saya tahan nafas terlalu lama semasa buat aksi itu,” jelas Jackie.

Selepas berehat seketika dan memastikan keadaan kembali baik, Jackie teruskan penggambaran.

“Bukan masalah besar. Saya kena yakinkan semua orang yang saya okay. Kalau tak, mereka akan gunakan pelakon lagak ngeri sebagai pengganti.

“Kalau saya hanya duduk di tepi sambil tengok orang lain buat aksi saya, memang rasa bersalah sangat!” tambahnya dengan nada berseloroh.

Walaupun umurnya sudah 70 tahun, Jackie masih tidak berhenti melakukan aksi-aksi lasak tanpa bantuan pelakon pengganti.

Menrusi filem ‘Panda Plan’, dia turut melakonkan adegan menunggang motosikal berkuasa tinggi yang perlu memecah tingkap. Sewaktu penggambaran, motosikal tersebut hilang kawalan dan Jackie tercampak beberapa meter.

Namun, dia tetap bertenang dan menyakinkan semua orang yang dia baik-baik saja. Kecederaan yang dialami hanyalah kecil, dan keberaniannya membuatkan kru produksi memberikan tepukan hormat.

Bukan itu sahaja, terdapat juga satu lagi adegan di mana Jackie perlu melompat dari lantai ke atas kotak kayu besar sebelum terus melompat ke tingkat dua.

Nampak macam senang, tapi untuk seseorang yang sudah 70 tahun, ia tetap mencabar. Keberaniannya terus mencuri hati kru dan warga produksi yang kagum dengan dedikasi serta profesionalisme Jackie.

Selain Jackie Chan, filem tersebut turut menampilkan panda bernama ‘Hu Hu’ sebagai bintang utama.

BACA: Fattah Amin Muncul Dalam Video Terbaru Pak Mat Western, Raih 2.5 Juta Dalam Tempoh 13 Jam Dimuat Naik

‘Panda Plan’ mengisahkan tentang watak Jackie Chan, seorang bintang kung fu, yang diundang untuk menjaga seekor anak panda popular, Hu Hu.

Namun, keadaan menjadi kecoh apabila Hu Hu menjadi sasaran kumpulan jenayah antarabangsa. Untuk menyelamatkan panda tersebut, Jackie bekerjasama dengan pengurusnya, David (dilakonkan oleh Wei Xiang), dan penjaga panda, Su Xiaozhu (lakonan Shi Ce), membentuk pasukan bagi menyelamatkan apa yang sepatutnya.

Filem Panda Plan mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula semalam, 10 Oktober 2024. Buat peminat Jackie Chan inilah filem yang tak harus dilepaskan!

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

Published by
Farizul Izwany Ibrahim