Usia 58 Tahun, Berbadan Besar, Perokok Tegar, Akhirnya Kencing Berdarah Dan Kanser Kritikal

Share

Tajul berusia 58 tahun, berbadan gempal dan seorang perokok tegar. Namun, sejak sebulan lalu, dia kerap demam, tidak bermaya dan kurang selera makan sehingga menjejaskan rutin harian. Tidak tahan keadaan itu, Tajul ke hospital untuk membuat pemeriksaan. Hasil pemeriksaan air kencing, terdapat sel darah merah (hemoglobin). Pemeriksaan CT scan pada abdomen, terdapat sel kanser di bahagian sebelah atas buah pinggang.

 

Kanser buah pinggang atau kanser renal merupakan sejenis kanser yang terbentuk di dalam tisu buah pinggang. Berdasarkan peratusan penghidap, lelaki lebih kerap, yakni dua kali ganda berbanding wanita menghidap penyakit ini.

 

Menurut Pakar Nefrologi Pusat Perubatan Tropicana Kota Damansara, Dr Soehardy Zainudin, antara penyumbang atau penyebab utama penyakit ini adalah merokok dan obesiti (berat berlebihan).

 

“Selain itu pendedahan kepada bahan-bahan kimia contohnya, arsenik dan capmist turut dibuktikan meningkatkan risiko terkena kanser ini.

 

“Walaupun ia tiada kaitan dengan keturunan, tetapi ada sekelompok pesakit yang kena kanser buah pinggang ini disebabkan sindrom yang dipanggil Von Hippel-Lindau (vHL) – di mana pesakit kena banyak jenis kanser – ikut organ mana yang kena, tak semestinya kena buah pinggang,” jelasnya.

Kenapa perokok? Dr Soehardy berkata, kebanyakan penghidap kanser lazimnya ada kaitan dengan bahan kimia (contohnya terdapat dalam rokok) atau bahan-bahan tidak sihat di dalam badan.

 

“Di dalam badan kita ada sistem imunisasi bagi mengekang perkembangan sel kanser ini. Tetapi, sekiranya gagal dan tidak berfungsi misalnya disebabkan oleh kesan rokok atau bahan-bahan kimia lain, ia akan menyebabkan sel kanser mudah merebak,” ujarnya.

 

Selain di kalangan perokok, ia juga lebih kerap kepada mereka yang mengalami penyakit buah pinggang dan sudah menerima rawatan dialisis selama bertahun-tahun (lebih 10 tahun) dan juga pesakit yang ada darah tinggi serta kencing manis.

 

Lingkungan umur yang selalu kena adalah dalam lingkungan 50-70 tahun (dewasa). Jarang sekali dikesan penghidapnya di kalangan umur kanak-kanak, kecuali sejenis kanser buah pinggang yang dipanggil Wilm Tumor, yang biasa dikesan kepada kanak-kanak di bawah umur lima tahun.

Simptom

Di peringkat awal, sebagaimana kebanyakannya kanser, kanser buah pinggang juga selalunya tidak boleh dikesan kecuali apabila sudah berada di peringkat pertengahan atau akhir. Antara simptom-simptom kanser buah pinggang ialah:

  1. Berasa lemah, letih dan lesu
  2. Kebanyakannya ada kencing berdarah. Kencing berdarah itu tidak semestinya nampak merah atau berdarah, kadang-kadang seperti kuning dan keruh, tetapi apabila diperiksa di makmal terdapat sel-sel darah dalam kencing.
  3. Sakit bahagian tepi perut. Bergantung kepada buah pinggang mana yang sakit. Kadang-kadang sakit dan boleh jadi bengkak dan seperti bonjol dan apabila ditekan seperti benda keras.
  4. Kadang-kadang nampak pucat disebabkan anemia.
  5. Kadang-kadang tekanan darah menjadi meningkat (hipertension)
  6. Pesakit kurang selera makan walaupun makanan sedap
  7. Berat badan turun mendadak tanpa sebab
  8. Demam secara tiba-tiba dan kadang-kadang berpeluh dan seram sejuk dan demam yang lama.

 

Diagnosis

Walau bagaimanapun, tidak semua simptom-simptom di atas bererti seseorang itu menderita kanser buah pinggang. Walau bagaimanapun, doktor akan membuat diagnosis berdasarkan simptom-simptom berkenaan dengan membuat pemeriksaan air kencing dan darah.

 

Melalui air kencing, kita akan buat diagnosis berdasarkan jika ada kesan sel darah. Pemeriksaan darah pula kita boleh dapati mungkin ada masalah dengan fungsi buah pinggang, dan sel darah merah (hemoglobin) boleh kurang atau meningkat. Keputusan adalah salah satu daripadanya.

 

Kemudian pesakit akan melalui pemeriksaan ultrasound, CT scan atau MRI. Walau bagaimanapun, ultrasound kita tak boleh nak diagnosis sangat sebab kadang-kadang nampak, kadang-kadang sebaliknya. Ia juga tidak berapa sensitif untuk kanser buah pinggang. Biasanya yang lebih sensitif untuk diagnosis kanser adalah melalui CT scan atau MRI.

 

Rawatan

Rawatan untuk kanser buah pinggang adalah bergantung kepada tahap kanser tersebut sama ada telah merebak ke bahagian/organ lain, tahap kesihatan dan umur penghidap.

 

Sebagaimana penyakit lain, mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Begitu juga pengesanan awal, peluang untuk sembuh adalah tinggi.

 

Lazimnya, rawatan paling berkesan untuk kanser buah pinggang adalah pembedahan untuk membuang bahagian yang terlibat.

 

Kemoterapi dan radio terapi tidak sesuai untuk kanser buah pinggang, terutama radio terapi. Biasanya, rawatan yang digunakan adalah dengan cara pembedahan membuang bahagian yang terkena. Contohnya apabila bahagian tersebut melibatkan sebahagian buah pinggang, kita akan buang sebahagian tersebut sahaja kerana biasanya bahagian lain masih berfungsi.

 

Jarang kanser buah pinggang melibatkan kedua-duanya sekali. Biasanya ia akan melibatkan salah satu. Potensi untuk berjangkit ke sebelah juga agak kecil kecuali jika ia berlaku melalui darah. Tetapi dalam kebanyakan kes, kalau merebak melalui darah, ia terlebih dahulu akan merebak ke organ-organ lain seperti tulang, paru-paru dan otak sebelum sempat untuk pergi ke buah pinggang sebelah.

 

 

Jangka hayat

Jika ia tidak merebak ke bahagian lain atau belum sampai tahap kritikal seperti sel kanser telah merebak ke tulang, paru-paru dan otak, dalam masa lima tahun, jangka hayat adalah dalam 50 peratus sementara dalam masa 10 tahun pula adalah 40 peratus, bergantung kepada pengesanan awal dan rawatan yang dijalankan.

 

Berdasarkan kes seperti dialami Tajul, selepas menjalani pembedahan membuang bahagian yang terdapat sel kanser, sekiranya perokok berhenti merokok, risikonya lebih rendah atau semakin menurun. Apa yang penting, buat pemeriksaan sekiranya terdapat gejala-gejala seperti di atas.

 

Gambar sekadar hiasan

 

DR SOEHARDY ZAINUDIN

Pakar Runding Nefrologi

MD (UKM), M. MED (UKM), M. MED (Singapore), MRCP (UK), MRCPS (Glasgow), AM (Mal)

Pusat Perubatan Tropicana

 

Published by
Kim Rahim