Sesetengah lelaki sememangnya dikurniakan dengan kelebihan untuk jadi awet muda dan kelihatan jauh lebih muda dari umur sebenarnya. Sekali imbas, ada yang macam seorang bapa anak seorang walhal usia sudah lebih separuh abad.
Pelakon-pelakon popular lelaki di Hollywood sebagai contohnya ada beberapa orang yang cukup terkenal dengan kurniaan ini. Tapi ramai sebenarnya tidak sedar bahawa penampilan awet muda mereka tidak hadir tanpa sebarang usaha.
Salah seorangnya ialah pelakon yang kini terkenal dengan membawakan watak Scott Lang atau Ant-Man iaitu Paul Rudd. Pelakon yang usianya mencecah 54 tahun ini dahulu dikenali ramai dengan kehebatannya melakonkan watal-watak komedi dalam beberapa buah filem hebat.
Jika dilihat pada penampilannya kira-kira 20 tahun dahulu dan sekarang memang tidak banyak yang berbeza. Seakan-akan usianya tidak langsung berubah jika lihat pada wajah dan juga penampilannya.
Kemunculannya yang nampak serba baharu dalam filem ‘Clueless’ cukup diingati ramai dan kini dalam filem-filem terbarunya seperti ‘Ant-Man and the Wasp: Quantumania’ memang ada sedikit perbezaan tapi tidaklah terlalu ketara berbanding pelakon-pelakon seusianya.
Paul Rudd jarang berbicara tentang bagaimana dia menjaga penampilan sama ada dari segi wajah dan juga bentuk badannya. Namun dia pernah berkongsi sedikit sebanyak dengan beberapa pengamal media sepanjang kariernya.
Tidak dinafikan penggunaan losyen pelindung matahari atau sunscreen mampu membantu kulit wajah lebih selamat dan terhindar dari agen-agen penuaan.
Menerusi temu bual bersama InStyle pada tahun 2015, Paul Rudd mendedahkan dia merupakan seorang yang percaya kepada kelebihan sunscreen. Dia mengakui menggunakan sunscreen dengan cukup kerap bagi melindungi kulit dari sinaran UV.
Percayalah penggunaan sunscreen setiap hari memang mampu melindungi kulit wajah dan badan dari kesan penuaan lebih pantas.
Tidak ramai yang sedar bahawa lelaki juga boleh menggunakan krim concealer. Concealer atau color corrector ialah sejenis kosmetik yang digunakan untuk menutup ketidaksempurnaan pada kulit. Ketidaksempurnaan ini boleh termasuk lingkaran hitam di bawah mata, cela dan hiperpigmentasi.
Pelakon Elizabeth Olsen pernah berkongsi tentang bagaimana dia mendapat tip dari Paul Rudd untuk menggunakan sedikit concealer bagi penampilan lebih muda.
Kondisi kulit jadi nampak lebih tua boleh berlaku jika tahap kelembapannya tidak terjaga dengan baik. Disebabkan itulah penggunaan pelembap sangat penting.
Ia bukan sahaja mengekalkan tahap hidrasi kulit yang baik tetapi membuatkan kulit nampak lebih ‘hidup’ dan segar. Ingat, semakin tua semakin terjejas tahap kesihatan liang minyak yang menjaga kesihatan kulit kita.
Bukan sahaja Paul Rudd malah ramai aktor lain juga turut berkongsi akan kepentingan tidur yang cukup untuk kesihatan fizikal dan mental yang baik.
“Salah satu perkara penting dalam apa jua bentuk latihan ialah tidur yang cukup,” jelasnya kepada Men’s Health dalam satu temu bual pada awal tahun ini. “Pertama tidur, kedua diet, kemudian angkat berat dan seterusnya kardio,” tambahnya lagi.
You are what you eat. Itulah juga yang diamalkan oleh Paul Rudd dari segi corak pemakanannya. Walaupun tidak pernah berkongsi tentang rahsia dietnya namun Paul Rudd pernah menyatakan dia makan telur setiap hari yang disertakan bersama ikan salmon.
Selain itu dia juga menggemari minuman protein goncang yang disatukan dengan gabungan tepung protein dan juga air. Dalam temu bualnya bersama AARP pada tahun 2019, Paul Rudd berkata, “Saya mulakan latihan dan pemakanan seperti atlet dengan mengehadkan tanpa gula, tanpa akohol dan hanya fokus kepada protein dan sayuran.
Semoga tip dan amalan yang dilakukan oleh Paul Rudd ini boleh dijadikan inspirasi buat anda semua.