Ucapan Tahniah Banjiri Media Sosial Di Atas Pelantikan Anwar Ibrahim Sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10

Share

Selepas rakyat Malaysia mengharungi ‘drama’ selama beberapa hari kancah politik negara, akhirnya negara kita tercinta mendapat Perdana Menteri baharu yang ke-10.

Selepas PRU15 menyaksikan tiada satu pihak pun mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan kita semua menjadi saksi bagaimana parti-parti politik melakukan pelbagai langkah perbincangan untuk menarik sokongan.

Hari ini di atas kebijaksanaan Seri Paduka Baginda Yang di-pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Pengerusi Pakatan Harapan (PH)M Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Ke-10.

Pelantikan Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 selaras dengan kuasa Baginda yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Foto: Astro Awani

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan yang dikeluarkan, proses seterusnya ialah lstiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri yang dijadualkan berlangsung pada jam 5 petang hari ini di lstana Negara.

Pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri dicapai susulan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara, hari ini. Yang di-Pertuan Agong berkenan berangkat menghadiri dan mempengerusikan mesyuarat berkenaan.

Sementara itu ucapan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim terus membanjiri laman media sosial. Pengguna-pengguna laman media sosial terutamanya penyokong Pakatan Harapan melahirkan rasa kegembiraan dan kesyukuran mereka di atas pelantikan ini.

Begitu juga dengan beberapa pemimpin berpengaruh dari PH seperti Nurul Izzah yang juga anak kepada Perdana Menteri Ke-10.

“I love you, Papa. Am always proud of you – even as you lay imprisoned as a prisoner of conscience.

Legasi yang kita tinggal kan untuk anak-anak dan generasi masa depan bukannya harta, pangkat mahupun wang ringgit, tetapi idealisme dan prinsip perjuangan yang tidak boleh dijual beli.”

Begitu juga ucapan tahniah dari Pengerusi DAP, Lim Guan Eng. “Beliau merupakan pilihan rakyat. Saya juga percata Anwar akan menjalankan tigas dengan baik dengan menjunjung perlembagaan dengan membentuk kerajaan berjiwa rakyat untuk kepentingan semua,” jelasnya.

Dalam masa yang sama, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli meminta pemimpin PKR/PH tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan sepanjang usaha membentuk Kerajaan Perpaduan berlangsung.

“Saya menyeru semua rakyat Malaysia, terutamanya penyokong dan anggota PKR, PH dan rakan-rakan politik menghormati keperluan mendesak untuk redakan keadaan. Saya menhasihatkan supaya tidak ada sebarang perhimpunan oleh mana-mana pihak untuk mengelakkan risiko probokasi dan berhati-hati dengan kenyataan media yang dikeluarkan oleh tokoh-tokoh politik”.

Tahniah Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas pelantikan sebagai Perdana Menteri ke-10 dari kami di team MASKULIN. Semoga negara kita terus aman, makmur, maju dan sejahtera di atas pentadbiran baharu ini.

Published by
Farizul Izwany Ibrahim