Mengubah gaya hidup menjadi lebih aktif dan sihat bukan suatu perkara yang mudah. Ramai individu mampu membuat perubahan sedemikian namun tidak ramai yang berjaya mengekalkan perubahan itu dalam kehidupan mereka.
Hal ini kerana masih ramai orang yang mempunyai tanggapan yang salah terhadap gaya hidup yang sihat.
Menurut pempengaruh kecergasan Abdul Hanif Abdul Hamid atau lebih dikenali sebagai Hanif Loid, beliau berpendapat yang orang ramai masih menganggap mengubah gaya hidup menjadi lebih sihat itu merupakan sesuatu yang ‘megah’.
“Kenapa orang rasa sukar, sebab orang ingat kita harus bermula dengan megah. Kita harus start dengan gym, kena bayar membership, kena beli dumbell, kena beli pakaian sukan, kena start makan salmon dan salad hari-hari.
“Saya membantu lebih ramai orang faham bahawa anda boleh mulakan dengan makan tempe, nasi ayam, nasi goreng, Maggi dengan telur, dengan tuna atau sardin,” kata Hanif kepada Maskulin ketika ditemui di sidang media Tiktok Awards 2023 minggu lalu.
View this post on Instagram
ENJOY LIFE, DON’T START BIG
Tambahnya, dengan bersenam selama 10 minit sahaja di dalam jadual aktiviti harian anda pun sudah memadai untuk memulakan perjalanan hidup yang lebih sihat.
Dari segi pemakanan pula, Hanif menyarankan untuk makan apa sahaja makanan yang telah tersedia di rumah anda tanpa perlu membeli bahan makanan yang bukan kebiasaan bagi anda.
Dengan perubahan yang tidak drastik sebegini, Hanif percaya yang seseorang akan mampu meneruskan perjalanan gaya hidup sihatnya dengan lebih lama memandangkan mereka masih menikmati kehidupan seperti biasa.
“Macam mana saya boleh bertahan selama 16 tahun sebab saya mulakan dengan 10 minit sehari dan saya mulakan dengan apa yang saya nampak dekat rumah. Telur, sayur, makan sahaja.
“Satu kesilapan yang banyak orang ingat is you kena start big. To me, enjoy life… Bila you enjoy life, you seronok dengan semua benda, you raikan semua perkara, you dah start jaga badan dah waktu tu,” tambahnya.
TERCALON TIKTOK AWARDS 2023
Hanif yang mempunyai lebih 577,000 pengikut di Tiktok itu turut tercalon bagi anugerah kategori “Best Of Sports” di Tiktok Awards 2023 di samping pencipta kandungan berpengaruh lain yang juga di bidang kecergasan.
Temasya anugerah berprestij meraikan pencipta kandungan atas talian yang julung kali diadakan di Malaysia itu juga bakal disiarkan secara langsung di media arus perdana pada 27 Ogos ini, iaitu di TV3 bagi acara utama dan di TV9 bagi acara karpet merah.
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
KLIK DI SEENI