Automotif

Tuntutan Insurans Kemalangan Langgar Haiwan Liar

Share

Adakah anda boleh melakukan tuntutan insurans kemalangan apabila langgar haiwan liar? Semalam satu berita cukup menyayat hati telah menggemparkan kita semua di sebalik kegembiraan Aidilfitri apabila seekor anak gajah telah mati akibat terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan SUV.

Kemalangan jalan raya melibatkan haiwan liar merupakan salah satu isu yang bukan berlaku baru-baru ini sahaja.

Malah ia menjadi satu isu serius terutamanya di kawasan yang berhampiran dengan hutan atau habitat haiwan. Kenderaan yang melibatkan haiwan liar boleh mengakibatkan kerosakan serius kepada kenderaan dan juga boleh membahayakan nyawa haiwan tersebut serta pemandu dan penumpang.

Lalu membuatkan persoalan adakah kita boleh melakukan tuntutan insurans jika berlaku kemalangan melibatkan haiwan liar?

Mengenali Risiko Kemalangan Dengan Haiwan Liar

Negara kita yang tercinta, Malaysia merupakan adalah negara yang kaya dengan biodiversiti dan sering kali, haiwan liar seperti tapir rusa, dan lain-lain, akan melintas jalan raya yang menghubungkan antara satu kawasan hutan dengan kawasan hutan yang lain.

Perkara ini sering berlaku di kawasan pedalaman dan kawasan yang berdekatan dengan taman negara atau hutan simpan. Kemalangan ini boleh berlaku apabila haiwan tersebut tiba-tiba melintas jalan tanpa diduga oleh pemandu, sehingga menyebabkan pemandu terpaksa melakukan pengereman mendadak atau mengelak, yang boleh menyebabkan kemalangan.

Image by aleksandarlittlewolf on Freepik

Proses Tuntutan Insurans

Jika anda terlibat dalam kemalangan yang melibatkan haiwan liar, anda boleh membuat tuntutan insurans asalkan anda mempunyai polisi insurans komprehensif.

Tuntutan ini akan dibuat di bawah kategori ‘own damage’ dimana anda perlu membayar deduktibel (jika ada) dan tuntutan ini akan mempengaruhi kadar NCD (No-Claim Discount) anda. Ini bererti, jika anda membuat tuntutan, kadar NCD anda akan dikurangkan dan ini akan meningkatkan jumlah premium insurans yang perlu dibayar pada tahun berikutnya.

Untuk memulakan proses tuntutan, anda perlu mengambil beberapa langkah penting. Pertama, pastikan untuk melaporkan kemalangan tersebut kepada polis serta menghubungi syarikat insurans anda sesegera mungkin.

Anda juga akan perlu mengambil gambar tempat kejadian, kerosakan pada kenderaan, dan haiwan yang terlibat, jika boleh. Dokumentasi ini sangat penting sebagai bukti untuk proses tuntutan insurans.

Langkah-Langkah Pencegahan

Penting bagi pemandu untuk mengambil langkah-langkah pencegahan untuk mengurangkan risiko kemalangan dengan haiwan liar. Beberapa tips pencegahan termasuk:

  1. Perhatikan Papan Tanda: Selalu perhatikan papan tanda khusus yang menunjukkan kemungkinan adanya haiwan liar yang melintas. Papan tanda ini biasanya dipasang di kawasan yang sering terjadi penyeberangan haiwan.
  2. Kurangkan Kelajuan: Kurangkan kelajuan anda terutama di kawasan yang dikenal pasti sebagai hotspot untuk haiwan liar melintas. Mengurangkan kelajuan dapat memberi anda lebih banyak masa untuk bertindak balas jika ada haiwan yang tiba-tiba melintas.
  3. Gunakan Lampu Tinggi Dengan Bijak: Gunakan lampu tinggi ketika memandu di kawasan gelap untuk meningkatkan visibiliti, tetapi pastikan untuk beralih ke lampu rendah apabila bertemu dengan kenderaan lain untuk mengelakkan silau.
  4. Lebih Berwaspada Pada Waktu Subuh dan Senja:
    Haiwan liar lebih cenderung untuk bergerak pada waktu subuh dan senja. Oleh itu, tambahkan kepekaan dan kehati-hatian semasa memandu pada waktu-waktu ini.
  5. Ikuti Arahan dan Latihan Keselamatan: Ambil bahagian dalam kursus atau latihan keselamatan pemanduan yang mungkin mengajar tentang cara-cara untuk mengelakkan kemalangan dengan haiwan liar.

Dengan meningkatkan kesedaran dan mengambil tindakan pencegahan yang sewajarnya, pemandu dapat meminimalkan risiko kemalangan yang melibatkan haiwan liar serta memastikan mereka mendapat perlindungan insurans yang cukup jika kemalangan tersebut tidak dapat dielakkan.

Ingatlah, keselamatan anda dan haiwan liar sama pentingnya dan tindakan pencegahan boleh menyelamatkan nyawa.

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

 

Sumber: BJAK

Published by
Farizul Izwany Ibrahim