Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Namun bagi lelaki ini jalan yang dimaksudkan untuk dirinya adalah diharungi secara harfiah. Demi menunaikan nazar selepas kebenaran rentas negeri, Mohd Syahrizal Harun atau lebih dikenali sebagai Mat telah berjalan kaki sejauh 290 kilometer untuk pulang ke kampung.
Memetik laporan Astro Awani, Mat berusia 40 tahun yang juga dikenali sebagai seorang juruteknik di sebuah syarikat swasta di ibu negera telah berjaya mengharungi perjalanan serta menunaikan nazarnya dengan berjalan kaki selama empat hari.
Jelasnya, sebelum ini dia tidak dapat pulang ke kampung tercinta selepas negara kita telah berdepan larangan rentas negeri akibat penularan pandemi, Covid-19. Sebelum pengumuman kebenaran rentas terbaru yang diumumkan oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, dia telah bernazar untuk pulang ke kampung dengan cara berjalan kaki sebagai tanda kesyukuran.
Mengharungi perjalanan berjalan kaki selama empat hari untuk pulang ke kampungnya di Kampung Bertam Baru, Gua Musang dia telah merentas tiga buah negeri iaitu Selangor, Pahang dan Kelantan. Sepanjang empat hari perjalanan Mat telah berdepan cabaran yang cukup mencabar. Ujarnya cabaran yang paling ketara ialag keadaan cuaca yang tidak menentu.
“Cabaran kedua ialah berjalan tatkala musim hujan dengan beberapa kejadian tanah runtuh. Banyak jalan ditutup serta dilencongkan ke arah lain (menyebabkan) kena tambah kilometer perjalanan lagi.
“Pada waktu malam pula berjalan pula risikonya hanya satu keadaan gelap dan binatang, tapi Alhamdulillah tidak ada binatang yang berbahaya setakat anjing sahaja,” kata Mat berkongsi pengalaman ketika ditemui pemberita di Hentian Gua Musang di sini, pada Ahad.
Sebelum itu, kepulangan Mat ke Gua Musang disambut oleh Ahli Dewan Undangan Nenggiri, Ab. Aziz Yusoff; Yang Dipertua Majlis Belia Jajahan Gua Musang, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani dan Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Berhad (E-Mutiara), Che Ibrahim Che Ismail.
Syabas MASKULIN ucapkan kepada Mat yang berjaya harungi perjalanan jauh ini dengan selamat. Hanya yang kental sahaja boleh laksanakan cabaran yang sukar seperti ini!
Jangan lupa untuk subscribe channel Telegram MASKULIN untuk update terkini!
Kredit: Astro Awani