Walaupun usia 15 tahun masih dikategorikan sebagai bawah umur, namun remaja seusia itu sepatutnya sudah tahu membezakan mana yang baik dan mana yang buruk, demikian pendapat Dr Shazril Shaharudin mengulas isu remaja yang menggunakan steroid untuk membina badan seawal usia tersebut.
“Saya form three (15 tahun), saya rasa saya dah boleh buat decision lah. Kita tahu yang mana yang baik dan buruk,” kata Dr Shazril atau lebih dikenali sebagai Dr Say ketika ditemui MASKULIN selepas berlangsungnya Nivea Luminous630 Celebration Night di ibu negara minggu lalu.
“Jadi disitu sebenarnya kita boleh tanya sekeliling, tanya yang lebih arif. Tanya yang lebih dewasa, baik atau buruk ambil perkara ini, benda itu,” katanya lagi.
Maka, Dr Say berpendapat usia tidak sepatutnya dijadikan alasan atas sesuatu kesilapan yang berlaku akibat tidak bersiap sedia dengan ilmu yang cukup.
“Tidak dinafikan sekarang ni it’s all about looks and appearance. Saya rasa kalau tanya budak-budak sekarang, mestilah ramai nak jadi influencer, content creator, nak jadi di hadapan kamera, nak look good.
“Tapi belajarlah sebelum kita ambil apa jua barang. Tak kisahlah protein ke, supplement ke. Tanyalah yang lebih dewasa, yang lebih arif, tanya doktor,” tambahnya.
Dr Say yang juga pernah bergiat aktif dalam pertandingan bina badan beberapa tahun lalu turut berpendapat yang penjualan bahan-bahan terlarang juga wujud disebabkan masih ada permintaan dikalangan individu di bidang berkenaan
“Bagi saya, when there is no demand, there is no supply
… Kalau kita tak meminta untuk benda itu, takkan ada penjualannya,” ujar Dr Say.“Jadi tak boleh nak salahkan semata-mata penjual itu. Kita sebagai pengguna sendiri perlu cerdik menilai apakah side effect semua ni, apakah yang akan berlaku pada tubuh badan kita sekiranya kita ambil.”
Senada dengan pendapat ahli bina badan Hazim Sazali yang mengatakan tidak perlu tergesa-gesa untuk melihat hasil dalam proses membina badan, Dr Say juga bersetuju yang membina badan secara semula jadi lebih baik demi kesihatan seumur hidup.
“Do it the natural way, ia akan memakan masa. Buat badan ni akan memakan masa, but enjoy the process sebab kita nak guna badan kita lama. Jadi sayangilah kesihatan kita, sayangilah badan kita.”
Terdahulu, tular di laman Tiktok seorang remaja berusia 15 tahun berkongsi beberapa keping gambar menunjukkan yang dia telah mula mengambil steroid untuk membina otot badan.
Hantaran itu mendapat perhatian ramai termasuklah Hazim Sazali yang juga merupakan anak kepada jaguh bina badan negara Sazali Samad.
Bagaimanapun, hantaran itu telah pun dipadam oleh remaja berkenaan susulan kecaman netizen yang diterimanya.