Kerohanian

Tular Kisah Penjual Teh Dipersenda, Dr Zulkifli Jelas Tiada Beza Pangkat Manusia Kecuali Takwa

Share

Kisah penjual teh ais bernama Sunhaji itu trending sebelum ini apabila penceramah Gus Miftah, 43, yang juga Utusan Khas Presiden Indonesia, Prabowo mempersendakannya, memalukannya dan dihina sebagai bodoh.

Tindakan Gus Miftah telah mencetuskan kemarahan ramai warga Indonesia termasuk netizen Malaysia yang tidak bersetuju dengan gurauan terbabit.

Dr Zulkifli beri pandangan, penjual teh dan jutawan tiada beza disisi Allah kecuali takwa

Terbaharu, Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri turut tampil memberikan pandangannya.

Dr Zulkifli menerusi satu hantaran yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya berkata, apa jua kedudukan seseorang sama ada penjual teh atau jutawan tiada beza di sisi Allah SWT.

Menurutnya, hal ini kerana Allah SWT menilai kedudukan seseorang umat Islam adalah berdasarkan ketaqwaan mereka.

“Sekiranya dia bersumpah atas nama ALLAH untuk sesuatu perkara, ALLAH akan memenuhi sumpahnya.

“Sekiranya dia berdoa, pasti ALLAH makbulkan. Hal ini kerana keikhlasannya, kedudukan di sisi ALLAH dan amalan yang selari dengan keredaanNya,” katanya.

Terdapat hadis cerita tentang orang miskin yang tidak dipedulikan masyarakat

Menurutnya lagi, terdapat hadis menceritakan keadaan seseorang yang miskin dan tidak dipedulikan oleh masyarakat kerana penampilannya tidak terurus serta kedudukannya yang rendah.

Daripada Abu Hurairah beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda:

رُبَّ أشعثَ أغبَرَ مدفوعٍ بالأبواب، لو أقسَمَ على الله لَأَبَرَّهُ

“Boleh jadi orang yang rambutnya kusut masai, penuh debu, dan sering dihalau di pintu-pintu, sekiranya dia bersumpah atas nama Allah, Allah pasti memakbulkannya.”

Riwayat Muslim

Jelas Dr Zulkifli, maksud madfu’ bi al-abwab dalam hadis di atas adalah dia sering dihalau di pintu-pintu kerana tiada kedudukan atau pengaruh di mata manusia.

“Namun, di sisi ALLAH SWT, dia memiliki kedudukan yang tinggi kerana ketakwaannya,” katanya lagi.

Gus Miftah akui kesalahan, tampil mohon maaf

Terdahulu, Gus Miftah yang cakna akan perkara itu telah tampil kelmarin (3 Disember) membuat permohonan maaf dan mengakui kekhilafannya.

“Assalamualaikum, saya ingin memberi respon terhadap apa yang sedang tular hari ini. Pertama sekali, dengan rendah hati, saya memohon maaf atas kekhilafan saya,” katanya dipetik Warta Kota.

Menurutnya, kata-kata kasar yang dilontarkan olehnya kepada peniaga air teh itu hanyalah gurauan semata-mata.

Source: Facebook

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

Published by
Nana