
Seramai enam kakitangan Era FM, termasuk trio ‘3 Pagi Era’ iaitu Nabil Ahmad, Azad Jasmin, dan Radin Amir, telah dipanggil ke Bukit Aman pada hari ini memberi keterangan berkaitan isu tersebut.
Difahamkan, kes ini disiasat di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, susulan sebanyak 44 laporan polis yang dibuat di seluruh negara.
Memtik laporan Berita Harian, trio penyampai ‘3 Pagi Era’ ini bersama kakitangan stesen radio berkenaan tiba di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sekitar jam 10.30 pagi untuk memberikan keterangan kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT).

Proses tersebut berlangsung selama lebih dua jam sebelum mereka dilihat keluar dari premis berkenaan pada jam 1.10 tengah hari dengan menaiki Toyota Vellfire berwarna hitam.
Walau bagaimanapun, mereka berlalu pergi tanpa memberikan sebarang kenyataan kepada kumpulan wartawan yang hadir membuat liputan berhubung kes tersebut.
Punca Kontroversi
Siasatan dilakukan selepas seorang jurutera berusia 44 tahun membuat laporan polis mendakwa video yang dimuat naik di Facebook memaparkan beberapa individu dari stesen radio itu mempersenda upacara keagamaan Hindu.
Menerusi video tersebut, pengadu mendakwa individu berkenaan didakwa bersorak “Vel, Vel” sambil seorang lelaki menari, dipercayai meniru tarian kavadi yang merupakan sebahagian daripada upacara Thaipusam.
Tindakan tersebut telah menimbulkan kemarahan ramai dan mencetuskan kecaman hebat daripada netizen. Rata-rata menyifatkan perbuatan itu sebagai tidak sensitif terhadap kepercayaan penganut Hindu.
Video berkenaan kemudiannya telah dipadam daripada platform media sosial stesen radio berkenaan.
Susulan insiden itu, tular satu video memaparkan ketiga-tiga penyampai 3 Pagi Era, iaitu Nabil, Azad dan Radin, memohon maaf atas keterlanjuran mereka. Mereka menegaskan bahawa tindakan mereka tidak berniat untuk memperlekeh atau menyakiti mana-mana pihak.
Namun, permohonan maaf itu masih mengundang pelbagai reaksi. Ada yang menerima dan menganggap ia sebagai satu pengajaran, manakala sebilangan yang lain berpendapat bahawa permohonan maaf tersebut tidak mencukupi memandangkan isu sensitiviti agama bukanlah perkara yang boleh dipandang ringan.
Kini, siasatan masih berjalan, dan masyarakat menantikan tindakan lanjut daripada pihak berkuasa berhubung kes ini.
BACA: Kelebihan Berbuka Puasa Dengan Air Kosong, Rahsia Kecergasan & Kesihatan Lelaki
Apa yang pasti, isu ini memberikan pengajaran besar untuk kita semua terutamanya pengamal media untuk lebih peka tentang sensitiviti kepercayaan dan budaya semua kaum dalam negara yang berbilang bangsa dan agama.
Semoga semua pihak terlibat juga berlapang dada untuk menyelesaikan isu kontroversi ini.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
KLIK DI SEENI