Inspirasi

Tribute Istimewa Zayn Malik Buat ‘Bro’-nya, Liam Payne

Share

Kehilangan seorang kawan baik yang masing-masing membina karier dari bawah hinggalah mencipta nama sebagai bintang besar pastinya cukup memberi kesan. Zayn Malik kembali ke pentas dengan persembahan tribute istimewa memperingati sahabatnya yang telah pergi, Liam Payne.

Konsert istimewa itu berlangsung di O2 Academy Leeds, England, pada 23 November, lebih sebulan selepas Zayn menangguhkan jelajah solonya kerana pemergian mendadak bekas rakan grupnya, One Direction.

Walaupun Zayn tidak menyebut nama Liam secara lisan sepanjang persembahan, mesej penuh emosi terpancar di layar pentas ketika dia melangkah pergi. Kata-kata “Liam Payne, 1993-2024, Love you Bro” diiringi simbol hati merah mengundang hiba di kalangan peminat yang hadir, seperti dilaporkan oleh The Telegraph

.
Foto: Andrew Benge/Getty Images for ABA

Tragedi kehilangan Liam pada 16 Oktober akibat terjatuh dari balkoni hotel di Buenos Aires telah mengejutkan ramai pihak.

KEHILANGAN BESAR

Pemeriksaan toksikologi mendedahkan kehadiran alkohol, kokain, dan ubat antidepresan dalam tubuhnya. Kehilangan ini menjadi satu tamparan buat Zayn, yang kemudiannya memaklumkan di Instagram bahawa beliau akan menangguhkan bahagian jelajah AS albumnya, Stairway to the Sky.

“Keputusan ini saya buat kerana kehilangan besar yang dialami minggu ini. Saya perlu memberi ruang untuk bernafas,” ujar Zayn kepada peminatnya.

Konsert yang berlangsung di Leeds itu adalah sebahagian daripada perjalanan muzik Zayn sebagai artis solo selepas meninggalkan One Direction pada 2015.

Walaupun karier solonya dipenuhi cabaran, persembahan ini menjadi bukti kasih dan penghormatannya terhadap Liam, seorang sahabat yang berkongsi sejarah besar dalam hidupnya.

Liam disemadikan pada 20 November di England, dengan kehadiran penuh emosi ahli keluarga, rakan, dan sahabat terdekat.

Zayn bersama tiga ahli One Direction yang lain iaitu Harry Styles, Niall Horan, dan Louis Tomlinson telah melakukan reunion buat kali pertama sejak mereka berpecah. Sekali gus  memperlihatkan hubungan persaudaraan mereka yang tidak pernah pudar walau berdepan masa dan jurang karier masing-masing.

Momen penuh keikhlasan itu turut dihadiri tokoh penting dalam kehidupan Liam, termasuk Cheryl Cole, bekas pasangan dan ibu kepada anak lelaki Liam, Bear yang berusia 7 tahun, serta Simon Cowell, individu yang membawa One Direction ke puncak populariti menerusi rancangan The X Factor.

BACA: Ikmal Amry Cabar Stereotaip Hero Romantik, Sertai Program ‘MASKULIN WHO’S YOUR BRO’

Tribute Zayn pada malam itu bukan sekadar sebuah persembahan muzik, tetapi lambang persahabatan dan penghormatan kepada memori yang tidak ternilai.

Zayn Malik membuktikan bahawa lelaki juga boleh meluahkan emosi mereka dengan tulus dan berani, terutama ketika mengenang insan yang pernah menjadi sebahagian penting dalam perjalanan hidup mereka.

 

Jangan lupa saksikan program realiti kecergasan paling mantap, ‘MASKULIN Who’s Your Bro’ yang akan mula ditayangkan bermula 29 November, setiap Jumaat jam 9 malam di saluran Astro Ria!

 

Kredit: E Online

Published by
Farizul Izwany Ibrahim