Inspirasi

Transformasi Ikmal Amry, ‘MASKULIN Who’s Your Bro’ Suntik Semangat Untuk Jadi Atlet Profesional

Share

Head of Men & Hobbies, Penata Gaya: Fiezreen Ahmad

Ass. Manager Men & Hobbies, Penulis: Farizul Izwany

Dibantu oleh: Faez Akhmal & Darwisy Farain

Arahan Seni: Azniza Aziz

Grooming: Ayang Kamell

Fotografer: Jazlan Nangar

Videografer: Husin Ali, Ezzat Shukri

Editor Video: Husin Ali

Suntingan Foto: Hezry Rokman

 Dikenali sebagai hero romantik di layar kaca, siapa sangka pelakon kacak Ikmal Amry kini menempa nama sebagai ikon kecergasan lelaki moden? Selepas menempuh 10 episod mencabar dalam program realiti MASKULIN Who’s Your Bro, Ikmal bersama gandingannya, Hakimi Noordin, mengejutkan ramai pihak apabila dinobatkan sebagai juara.

Ramai yang melihat mereka sebagai ‘pretty face’ dalam kelompok 12 peserta yang lain. Tetapi ternyata mereka bukan sekadar pelengkap jadual. Kemenangan duo ini telah memadam persepsi skeptikal dan menjadi bukti bahawa keazaman serta usaha mampu menepis segala label luar yang tidak adil.

Sebagai wajah penghias cover MASKULIN Men of The Moment kali ini, MASKULIN sempat  duduk semeja bersama Ikmal dan menyelami perubahan yang dialaminya sepanjang dan selepas Who’s Your Bro. Antara perkara paling awal yang terungkap ialah perubahan persepsinya terhadap dunia kecergasan dan kesihatan lelaki moden.

“Saya lebih cenderung untuk jaga pemakanan, lifestyle, kecergasan, cara menjadi lelaki lebih baik. Pertandingan ini mendorong saya jadi lelaki lebih baik dari semua aspek terutama fitness,” ujar Ikmal sambil tersenyum.

Lebih menarik, pengalaman bersaing bersama atlet profesional seperti Saddam dan Chee Wai menyuntik semangat baharu dalam dirinya.

“Secara asasnya, saya jadi lebih berminat untuk menjadi atlet. Dalam pertandingan ini saya berpeluang bertanding bersama atlet-atlet profesional dan hebat dari seluruh negara. Kemenangan ini membuatkan saya jadi lebih yakin untuk menjadi atlet seperti mereka,” jelas Ikmal dengan nada serius.

TIADA TOKSIK MASKULINITI

Antara nilai paling mengejutkan sepanjang program ini adalah semangat ‘brotherhood’ yang menebal di kalangan peserta. Di sebalik aura maskulin dan elemen kompetitif yang kuat, suasana sebenarnya cukup harmoni dan menyokong.

“Pertama sekali, semua masuk memang semua nak menang. Tapi bila dah mula kenal antara satu sama lain, toksik maskuliniti itu hilang secara semulajadi. Tambahan pula peserta-peserta yang masuk ini kesemuanya dah matang,” ujar Ikmal.

Bukan sekadar menang, Who’s Your Bro membawa impak yang besar dalam kehidupan peribadinya. Ikmal mengakui, pertandingan itu telah mengasah dirinya menjadi lelaki yang lebih ‘tough’ — dari aspek mental, fizikal dan emosi.

“Motto saya, ingin menjadi lelaki lebih baik dari semalam. Kalau semalam ada buat sesuatu yang tak baik, jadi hari ini cuba untuk tidak ulangi kesilapan sama. Tambahan saya pula sekarang seorang suami dan ayah. Mahu tunjuk teladan dan contoh yang baik,” katanya dengan penuh reflektif.

Di sebalik wajah tampan dan penampilan bergaya, Ikmal adalah seorang family man yang sangat mementingkan keluarga. Kehadiran isteri tersayang, Najla Shamsul, di hampir setiap sesi rakaman menjadi sumber kekuatan dan dorongan utamanya.

“Macam-macam yang berubah. Cara berpakaian, cara bercakap, cara makan harian, rutin harian semua berbeza. Ini semua berubah selepas munculnya insan tersayang iaitu isteri dan anak saya. Paling ketara ialah perangai saya. Dulu saya seorang yang baran – mudah triggered dengan hal-hal kecil,” ceritanya jujur.

BAKAL SERTAI HYROX

Satu sisi Ikmal yang jarang diketahui ramai ialah rejim latihannya yang ketat ketika menyertai Who’s Your Bro. Setiap cabaran yang ekstrem memerlukan perancangan dan latihan yang serius.

“Jujur saya katakan cabaran di program ini memang gila dan ekstrem. Jadi mahu tak mahu saya kena persiapkan diri dan melakukan latihan dengan lebih terancang dan intense,” katanya lagi.

Kini, selepas program tamat, rutin latihannya tetap diteruskan — ke gym tiga kali seminggu, larian dua kali seminggu dan latihan angkat berat seminggu sekali. Kalau sibuk dengan penggambaran, Ikmal pastikan senaman ringan seperti skipping tetap dilakukan.

Paling menarik, Ikmal kini bersiap untuk menyertai pertandingan HYROX di Bangkok pada Mei 2025 bersama Hakimi, dalam kategori Men’s Pro Double.

“Ini permulaan untuk saya lihat di mana tahap saya dalam sukan ekstrem seperti ini. Kalau catatan masa baik, saya akan teruskan. Jika kurang memberangsangkan mungkin saya akan cuba dulu pertandingan berbeza seperti maraton, red line dan sebagainya,” jelasnya penuh semangat.

BACA: Ikmal & Hakimi Buktikan Pelakon dan Model Mampu Jadi Juara MASKULIN Who’s Your Bro!

Walaupun aktif dalam dunia kecergasan, dunia lakonan tetap menjadi cinta pertamanya. Tahun ini, Ikmal kembali dengan naskhah dinanti seperti ‘Gantung: The Series’. Dan baru-baru ini dia tampil menbawakan watak antagonis menerusi filem ‘Soloz: Game of Life’.

“Melakonkan watak antagonis memang cukup berbeza. Ia seolah mengeluarkan diri kita yang orang tak pernah nampak. Karakter ini membuka ruang kepada saya menjadi pelakon lebih baik. Secara peribadi saya nak cuba lakonkan watak lebih jahat,” katanya berseloroh.

Transformasi Ikmal Amry bukan sekadar fizikal. Ia merupakan refleksi perjalanan seorang lelaki yang memilih untuk bangkit, berkembang dan menjadi inspirasi kepada ramai orang.

Untuk menyelami lebih lanjut perjalanan Ikmal, jangan lupa tonton video eksklusif MAN OF THE MOMENT bersama Ikmal Amry di bawah!

 

 

Published by
Farizul Izwany Ibrahim