Sebut sahaja nama ‘Abang Viva’ rata-rata pasti akan mengenali sosok tubuh yang cukup merendah diri ini. Azwan Omar yang namanya tular dengan panggilan Abang Viva tahun lalu selepas membantu mangsa banjir yang berlaku di Shah Alam, Selangor.
Terbaru, beliau dikatakan sudah pun berada di Hulu Terengganu, Terengganu bagi membantu mangsa-mangsa banjir yang terperangkap dan memerlukan bantuan.
Memetik laporan dari Sinar Harian, Azwan Omar bergerak menyertai misi bencana banjir ke negeri Pantai Timur tersebut dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton pada Ahad.
Setibanya di Terengganu, beliau bersama kumpulan sukarelawannya dikatakan terus menjalankan misi bantuan sejurus setibanya di Hulu Terengganu. Ini kerana pergerakan agak terbatas untuk ke tempat lain yang rata-rata telah dinaiki air.
Beliau yang bergerak bersama Pertubuhan Gerakan Kebajikan Abang V-Va turut merancang untuk meneruskan misi menyelamat di negeri Kelantan. Ini berikutan laporan semasa menunjukkan keadaan semakin buruk di negeri tersebut.
Jelasnya lagi, buat masa sekarang kumpulannya masih lagi di Terengganu berikutan beberapa laluan utama ke Kelantan tidak dapat dilalui. Tambahnya, misi sukarelawan kali ini jauh lebih mencabar kerana kondisi hujan yang turun tanpa henti, aliran airyang deras dan juga kedalaman air.
Itu tidak termasuk lagi cabaran menghidupkan enjin bot yang berdepan kesukaran dihidupkan dalam kondisi seperti ini.
“Selain misi menyelamat kita turut memberikan bantuan kepada mangsa banjir terjejas melalui sumbangan orang ramai menerusi akaun persatuan kita,” ujarnya.
Menerusi Facebook kendaliannya, warganet turut mengucapkan rasa terima kasih kepada Abang Viva yang dilihat mereka sebagai inspirasi yang sentiasa bersedia membantu di saat orang palin dalam kesusahan.
“Terima kasih bang kerana membantu.. dalam banyak komitmen lain masih lagi turun ke padang.. terima kasih atas bantuan”.
“Semoga dipermudahkan segala urusan membañtu & menyelamat… semoga dikurniakan kesihatan yang baik juga”.
Tidak kurang juga beberapa mangsa yang merayu meminta pertolongan untuk dapatkan makanan dan juga lampain pakai buang untuk anak-anak mereka. Semoga segala bantuan dari pihak lain juga akan tiba dengan cepat.
Sama-sama kita doakan agar mangsa-mangsa banjir ini dipermudahkan segala urusan mereka. Buat Abang Viva, MASKULIN tabik sama kamu!
Kredit: Sinar Harian