Salah satu model yang menarik perhatian di reruai Yamaha ialah motosikal tiga rodanya. Secara peribadi menurut penulis model berkenaan lebih baik berbanding Can-Am Spyder dan sekurang-kurangnya tidaklah anda tersekat di belakang kenderaan lain.
Motosikal jenis Roller Leaning Multi-Wheeler (LMW) itu dinamakan sebagai Yamaha Niken. Bagaimanapun, spesifikasi lengkap jentera berasaskan model MT-09 itu masih belum didedahkan sepenuhnya pada Tokyo Motor Show (TMS) 2017.
Difahamkan maklumat terperinci akan didedahkan pada EICMA (6 November) di Milan, Itali. Spesifikasi yang ada setakat ini hanyalah bahagian jana kuasa dan dimensi. Yamaha Niken menggunakan enjin DOHC penyejukan cecair, pancitan bahan api, 4-lejang. Tanpa perlu diragui tentunya enjin berkenaan daripada Yamaha MT-09 bersesaran 847cc .
Merujuk siaran akhbar yang dikeluarkan, jentera tiga roda itu dilengkapi dengan teknologi LMW yang berfungsi mengurangi kesan perubahan tunggangan mengikut keadaan dan menawarkan kestabilan apabila melalui selekoh.
Yamaha Niken dikatakan tetap selesa ditunggang pada pelbagai permukaan jalan. Motosikal tiga roda yang pertama di dunia itu memiliki dimensi panjang 2,150mm ,lebar 885mm dan tinggi 1,250mm.
Bagi mendapatkan tunggangan sporty, Yamaha menggunakan mekanisme suspensi depan yang belum pernah dipakai sebelum ini. Ia memadankan rim depan 15 inci bersama dua tiub suspensi USD sehingga terlihat sporty dan tampil mewah.
Buat masa ini soal harga masih belum dibahaskan lagi dan model berkenaan kemungkinan akan berada di pasaran tahun depan.