Kebanyakan lelaki memiliki lesen memandu B2 dan D. B2 untuk motorsikal berkuasa di bawah 250cc manakala D pula untuk kenderaan seperti kereta dan van.
Tetapi lelaki juga ada kalanya mengidam untuk membawa motorsikal besar berkuasa 500cc ke atas dan untuk itu, anda perlu upgrade lesen anda terlebih dahulu.
Sebelum anda ke sekolah memandu, anda perlu pergi ke Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ) untuk menaik taraf lesen anda. Dengan bayaran sekitar RM20, lesen anda akan dinaik taraf kepada B Full (L).
Setelah memiliki lesen B Full (L), anda harus pergi ke pusat latihan memandu untuk menempah slot menunggang motorsikal berkuasa tinggi selama 9.5 jam dalam litar.
Kadar untuk menaik taraf lesen kepada B Full ini tidak seragam kerana ia mengikut pusat latihan memandu tersebut.
Jika ada promosi, anda mungkin mendapat dengan harga di bawah RM400 tetapi pada kadar biasa, ianya bernilai RM650 dan ke atas.
Sebelum menunggang di litar, ada sesetengah pusat latihan memandu memerlukan anda untuk mengikuti semula kelas teori. Mungkin agak bosan terutamanya bagi pemegang lesen yang berpengalaman.
Selesai kelas teori, anda perlu menjalani latihan selama 9 jam di litar yang disediakan. Lagi setengah jam adalah ujian penilaian yang dipanggil sebagai QTI.
Tetapi untuk menjalani penilaian dengan pihak JPJ, lesen L anda mestilah berusia lebih sebulan dan untuk itu anda dinasihatkan, settlekan latihan apa semua dan tenang menunggu waktu untuk diuji.
Kepada pemegang lesen B2, anda tetap akan menjalani latihan dan penilaian pada bahagian 1 dan 2. Bahagian 1 adalah tentang kemahiran anda mengendalikan motorsikal dalam litar dengan isyarat tangan manakala bahagian 2 pula adalah kemahiran anda membuat brek kecemasan, menunggang di bulatan 8 dan sebagainya.
Jika pusat latihan memandu anda begitu aktif, dalam masa seminggu, lesen B Full anda akan siap dan semoga dengan adanya lesen itu, anda boleh menunggang motorsikal berkuasa tinggi di jalan raya dengan selamat.