Malang tidak berbau. Tanpa sebarang amaran bateri kereta boleh ‘kong’ tatkala anda ingin menghidupkan kereta. Lebih mengharukan apabila ia berlaku ketika anda berhenti dalam perjalanan ke sesuatu destinasi atau pada waktu malam.
Perkara ini sebenarnya boleh dielakkan jika anda menjaga dengan betul servis bateri atau menukarnya apabila sudah tiba masanya. Namun biasalah kita bukan manusia sempurna dan pastinya kadang-kadang terlupa akan hal seperti ini.
Bila bateri ‘kong’ antara solusi untuk hidupkan kereta sebelum anda pergi ke bengkel atau tukar bateri baru ialah dengan melakukan ‘jumper’. Ia kelihatan seperti mudah tapi ramai orang tidak tahu atau tersilap melakukannya dengan betul. MASKLULIN ingin kongsi dengan anda cara melakukan ‘jumper’ dengan betul.
Jika tersilap langkah ia boleh menyebabkan kerosakan seperti litar pintas pada komponen penting kereta seperti TCU (unit kawalan transmisi) atau risiko bahaya lain.
Ikuti langkah-langkah di bawah:
Pertama sekali bila berdepan situasi ini anda memerlukan jumper bateri kereta dengan bantuan kereta ‘penderma’. Sebelum itu anda harus pastikan peralatan dan sistem elektrik kedua-dua kereta seperti lampu hadapan, radio dan sebagainya dimatikan terlebih dahulu.
Apabila sudah ada kereta ‘penderma’, anda harus pastikan ia diletakkan secara sedekat yang mungkin. Ini untuk membolehkan kabel jumper kereta dicapai terminal negatif dan positif kedua-dua kereta. Tapi harus ingat janga pula terlalu dekat sehingga kereta bersentuhan antara satu sama lain.
Selepas anda pastikan kedua-kedua enjin kereta dimatikan, cabut dahulu kunci. Kemudian buka bonet hadapan.
Mula-mula, sambungkan klip kabel jumper dengan menyambungkan terminal positif kabel jumper kereta dengan terminal positif bateri kereta ‘penderma’. Kebiasaannya terminal positif mempunyai penutup plastik berwarna merah dengan simbol tambah (+). Kemudian, sambungkan hujung klip kabel jumper kereta yang lain dengan terminal positif bateri kereta yang rosak.
Selepas itu, anda sambungkan klip kabel jumper kereta berwarna hitam (negatif) pada terminal negatif bateri kereta ‘penderma’. Ia diikuti dengan sambungan hujung klip kabel jumper kereta yang lain dengan benda logam yang tidak bercat pada kereta yang rosak seperti batang besi bonet hadapan.
Apabila sambungan dipastikan baik, hidupkan enjin kereta ‘penderma’.
Ambil masa beberapa minit dan tunggu terlebih dahulu. Teruskan dengan cuba hidupkan enjin kereta yang rosak. Andai ia masih belum boleh dihidupkan selepas beberapa cubaan, itu bernakna kereta anda mungkin ada masalah lain selain daripada masalah bateri.
Jika proses jumper anda berjaya, biarkan kedua-dua enjin kereta hidup selama lima sehingga sepuluh minit.
Untuk mencabut kabel jumper kereta, anda hanya perlu membuka sambungan kabel mengikut urutan berlawanan. Cabut kabel hitam pada kereta yang rosak. Kemudian diikuti dengan kabel hitam pada kereta ‘penderma’, kabel merah pada kereta yang rosak dan kabel merah pada kereta ‘penderma’.
Apabila selesa, anda boleh cuba test drive dalam keadaan normal selama kira-kira 30 minit untuk mengecaj kembali kuasa bateri. Jika tidak yakin teruslah ke bengkel berhampiran segera.