Semua orang akan risau apabila munculnya jerawat di wajah. Jangan nak kata jerawat besar, kalau jerawat halus yang muncul di dahi ataupun di dagu pun sudah merimaskan.
Walaupun banyak petua tradisional yang boleh anda amalkan untuk mengurangkan timbulnya jerawat, namun tidak semua orang serasi untuk mengamalkannya.
Sambil mencari produk wajah yang sesuai dengan masalah jerawat yang anda hadapi, pastikan perkara-perkara ini juga anda titikberatkan kerana ia juga membantu dalam mengurangkan terjadinya jerawat di dahi dan dagu.
Cara untuk menghilangkan jerawat di dahi
Rehat dan senaman yang mencukupi merupakan dua cara hidup yang mudah untuk diamalkan jika kita ingin menghilangkan dan mencegah jerawat. Senaman akan mengurangkan tahap hormon kortisol yang menyebabkan tekanan dan badan kita akan menghasilkan hormon endorfin yang akan menenangkan fikiran.
Amalan menjaga kebersihan sangat membantu dalam mengelakkan masalah jerawat. Pastikan kita sentiasa membersihkan kulit dengan baik untuk mengurangkan pembentukan minyak atau sebum yang akan menyumbat liang roma kulit. Pembentukan minyak akan cenderung untuk memerangkap bakteria dan menggalakkan pembentukan jerawat. Anda juga boleh mengamalkan produk penjagaan kulit wajah untuk tujuan pengelupasan (exfoliate) kulit. Ini akan membantu menyingkir kulit mati yang akan menyebabkan pori-pori wajah tersumbat sekali gus menyebabkan jerawat.
Tindakan anda memicit jerawat yang ada di muka tidak akan menyelesaikan masalah kerana tabiat ini akan membuatkan bakteria mudah tersebar dan menyebabkan timbul lebih banyak jerawat. Akhirnya akan menyebabkan wajah anda berparut atau terjadinya jangkitan pada kulit. Oleh itu pastikan anda atasi masalah jerawat dengan menggunakan produk wajah yang sesuai dengan jenis kulit.
Cara untuk elak jerawat di dagu dan sekitar rahang mulut
Nak mengelakkan jerawat daripada tumbuh, kita haruslah menghalang dan mengurangkan puncanya terlebih dahulu iaitu bakteria yang terperangkap di dalam liang roma.
Dengan menghalang diri kita daripada menyentuh permukaan kulit dagu dan rahang, ia dapat membantu mengelakkan bakteria penyebab jerawat daripada berpindah pada kulit. Perbuatan menyentuh kulit muka tanpa sedar akan menjadikan kulit wajah sebagai salah satu kawasan yang paling kotor pada tubuh badan.
Setiap hari tangan kita sentiasa menyentuh pelbagai permukaan kotor dan berhabuk. Dengan tangan yang kotor itulah anda akan memegang telefon bimbit dan menjawab panggilan. Permukaan telefon bimbit yang kotor dan penuh dengan bakteria ini akan memindahkan bakteria tersebut dari tangan ke kulit wajah ketika anda menjawab panggilan sekali gus menjadi antara penyebab berlakunya jerawat. Oleh itu pastikan sentiasa memakai sanitizer agar anda boleh membasmi kuman dan bakteria.
Badan kita terdiri daripada lebih 70 peratus air. Amalan meminum air kosong yang mencukupi setiap hari akan membantu badan beroperasi dengan lebih baik. Air akan membantu untuk mengeluarkan toksin daripada dalam tubuh sekali gus menjadikan anda tampak lebih muda dan bertenaga.
Follow Instagram MASKULIN