Mohammad Danial atau atau selesa dipanggil Danial, kini mampu berbangga dengan kerjayanya apabila pengalamannya menjadi seorang penebar roti martabak sejak berumur 13 tahun membuahkan hasil selepas dia berjaya membuka sebuah kedai martabak sendiri.
Berkongsi kisahnya, Danial pada awalnya mula belajar menebar roti daripada ayahnya dan bapa saudaranya.
“Saya membesar daripada keluarga yang berniaga, disebabkan itu timbul satu minat pada saya. Kenapa tidak, saya belajar benda ini?” ujarnya.
Meskipun tidak mempunyai latar belakang pendidikan yang tinggi, namun ia tidak menjadi satu halangan buat bapa seorang anak ini terus bekerja sejak awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) demi menyara keluarga tercinta.
Bahkan dia juga sanggup mengorbankan kerjayanya sebagai freelance dalam sektor Oil and Gas demi meluangkan lebihan masa bersama keluarga tercinta.
Menariknya tentang MSDR, Danial berkata ia bermula dari rumah di sebuah tingkat tiga secara atas talian ketika PKP dan makanan ini adalah gabungan resipi martabak terkenal Singapura, Martabak Zam-Zam Singapura serta resipi martabak dari Johor Bahru.
Tambahnya, ketika itu duit hanya berbaki RM500 di dalam bank sebelum Danial mengambil keputusan untuk membuka perniagaan tersebut.
Ditanya mengenai menyesal atau tidak meninggalkan dunia perindustrian Oil and Gas, Danial berkata dia tidak menyesal malah bersyukur dapat berniaga dan mempunyai masa meluangkan bersama keluarga sejak anak sulungnya lahir.
Lebih-lebih lagi isteri dan anaknya merupakan tulang belakang untuknya mencari nafkah.
“Walaupun ia tidak semewah kerja Oil and Gas, tapi saya ada banyak keistimewaan dalam berniaga. Saya ada masa bersama anak dan isteri, saya nampak mereka depan mata walaupun berniaga.
“Alhamdulillah cukup bawa anak dan isteri pergi jalan-jalan. Dapat belikan apa apa isteri saya nak. Bagi saya itu dah cukup memadai,” luah Danial.
Dalam pada itu, Danial menasihatkan kepada anak-anak muda yang ingin menceburi bidang ini adalah tidak berniaga seperti ‘hangat-hangat tahi ayam’.
“Nasihat saya kepada anak muda buat betul-betul, jangan buat separuh jalan. Kuatkan mental dan fizikal.
“Kalau anda nak berniaga dengan media sosial, apa-apa kecaman orang tolak ke tepi.
“Teruskan ke depan, anggaplah komen-komen orang yang memburukkan perniagaan sebagai batu loncatan ke atas,” katanya.