Anugerah berprestij meraikan pencipta kandungan atas talian, Tiktok Awards akan berlangsung buat julung kalinya di Malaysia pada 27 Ogos ini.
Bertempat di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) Kuala Lumpur, anugerah ini bakal menjadi acara tahunan untuk menghimpunkan individu yang terbaik dalam arena penciptaan kandungan.
Selain itu, ia juga bertujuan meraikan dan memberi penghargaan kepada pencipta tempatan berbakat yang berani mencabar batasan kreatif, menjadi sumber inspirasi kepada komuniti, dan mencorak industri penciptaan kandungan.
“Tema ‘Yang Gah di Skrin Kecil’ mendemonstrasikan potensi membatasi sempadan untuk warga pencipta kita menggandakan dan mempersembahkan kejayaan mereka di atas pentas besar, seperti yang bakal kita saksikan pada 27 Ogos ini!” kata Ketua Pemasaran dan Operasi TikTok Malaysia, Yin Yin Hooi.
Temasya anugerah ini juga akan disiarkan secara langsung melalui platform media arus perdana susulan kerjasama syarikat media sosial terkemuka bagi video mudah alih berformat pendek tersebut dengan Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios.
“TV3 teruja dapat bekerjasama dengan TikTok untuk menganjurkan TikTok Awards pertama di Malaysia. TV3 akan menyiarkan secara langsung TikTok Awards Malaysia pada 27 Ogos jam 9.00 malam, manakala karpet merah pada jam 8.30 malam di TV9,” kata Nini Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios.
Untuk lebih kemeriahan, para selebriti dan warga pencipta pujaan ramai seperti Dato’ Yusof Haslam, Bell Ngasri, Amber Chia, Farah Ann Abdul Hadi dan ramai lagi bakal hadir sebagai penyampai anugerah.
Para penonton juga bakal disajikan dengan persembahan yang mengasyikkan daripada Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Ziana Zain, Zeppo, DOLLA, Marsha Milan, Ernie Zakri, Alyph dan ramai lagi.
Acara Utama TikTok Awards akan dihoskan oleh Izzue Islam, Sherry Alhadad dan Amelia Henderson, manakala acara Karpet Merah akan dihoskan oleh Ceddy dan Sissy Imann. Detik belakang pentas pula akan dihoskan oleh Jaa Suzuran dan Neeta Manis.