Tiga Varian Terbaru BMW 3 Series Diperkenalkan Bagi Pasaran Malaysia

Share

Di antara model BMW yang cukup popular terutamanya di kalangan eksekutif muda di negara kita ialah BMW 3 Series. Setiap versi terbaharunya tidak pernah gagal menangkap perhatian ramai.

Terbaru, BMW Malaysia telah memepersembahkan edisi BMW 3 Series terbaharu yang menampilkan tiga varian iaitu dua varian petrol dan hibrid ‘pug-in’.

BMW Malaysia menampilkan tiga varian iaitu BMW 320i M Sport, BMW 330i M Sport dan BMW 330e M Sport. Lebih istimewa ketiga-tiganya dipasang di dalam negara.

Model iterasi sedan eksekutif premium yang terbaharu ini menampilkan eksterior dengan pesona yang lebih tertumpu di samping ruang interior yang lebih moden lagi inovatif. Jelas Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Hans de Visser berkata, tiga varian BMW 3 Series yang diketengahkan ini menampilkan versaitiliti pemanduan sempurna.

“Konsisten melakar kejayaan untuk jenama BMW, janji yang kami tunaikan buat para pelanggan kami dengan setiap iterasi sedan tersebut – daya pengendalian yang sporty, reka bentuk tersendiri, keefisienan luar biasa dan kelengkapan inovatif – masih akan diutamakan, berlatarkan pelbagai inovasi yang terus memacu jenama kami ke hadapan dalam perintisan generasi mobiliti yang seterusnya,” jelasnya lagi.

BMW 3 Series kekal menjadi jentera bertaraf ikonik, disumbang oleh ciri sporty yang sinonim dengannya, dan ia bermula dengan seksyen hadapan, di mana komponen gril ‘kidney’ menampilkan corak lingkaran yang baharu untuk menzahirkan iras yang lebih garang.

Lampu hadapan LED juga telah diperbaharui untuk menonjolkan kelebaran sedan ini, dengan lampu waktu siangnya yang serba ekspresif dan berbentuk L songsang.

Malah komponen apron hadapan BMW 3 Series terbaharu juga kini hadir dengan wajah yang tersendiri, dan ia masih memuatkan tirai udara lateral yang biasa dilihat pada jentera BMW. Komponen apron tersebut mengiringi salur masuk udara sentral yang dilitup dengan corak rekaan indung madu, disediakan melalui Pakej M Sport yang didatangkan secara standard bagi ketiga-tiga varian.

Dari sisi, BMW 3 Series membawakan reka bentuk yang menonjolkan sifat atletik jentera ini – memiliki jarak roda yang panjang, bonet yang landai dan juga rungkup yang singkat. Jentera ini disempurnakan dengan set roda aloi ringan M 18 inci dalam penggayaan dwiruji, dwiwarna 848 M berserta dengan saiz tayar hadapan dan belakang yang berasingan.

Menjadi sebahagian daripada Pakej M Sport, BMW 3 Series terbaharu juga menampilkan jata M pada tubuh sisinya, di samping Suspensi M Sport bagi kedua-dua varian petrol, manakala BMW 330e M Sport baharu pula akan didatangkan dengan Suspensi M Adaptif.

Seksyen belakang BMW 3 Series didefinisikan dengan dua paip ekzos yang unik, saiz diameternya telah dinaikkan kepada 100 mm untuk membuahkan iras yang lebih sporty, turut dipadankan dengan komponen peresap berkontur. Menonjolkan penampilan dinamik sedan ini ialah pakej M Aerodynamics dan Garisan Bumbung M berglos tinggi – kedua-duanya merupakan rangkuman standard Pakej M Sport.

Pengenalan BMW Curved Display menaik taraf elemen sofistikasi dan digitalisasi ruang interior BMW 3 Series terbaharu, ia hadir dengan Skrin Paparan Informasi 12.3 inci di samping Skrin Paparan Kawalan berciri sentuh 14.9 inci yang diintegrasikan tanpa rangka. Di bahagian tempat duduk penumpang hadapan, jalur trim yang besar dan luas turut menambah sentuhan keelegenan pada jentera ini.

Published by
Farizul Izwany Ibrahim