Kesihatan

Tiga Jenis Mineral Bermanfaat Yang Sering Diabaikan Rakyat Malaysia

Share

Kita lebih mengenali perkataan “mineral” apabila meminum air mineral, bukan?

Tidak dinafikan, pengambilan mineral yang terkandung di dalam air itu membawa manfaat kepada kesihatan tubuh manusia.

Tetapi tahukah anda terdapat beberapa jenis mineral yang turut membawa manfaat kesihatan namun sering dipandang ringan oleh rakyat Malaysia?

Memetik perkongsian video dari doktor dan pempengaruh kesihatan Dr Malar Santhi, berikut Maskulin senaraikan mineral tersebut:

@drmalarss Sebenarnya, jumlah air yang anda perlukan setiap hari BUKAN 2L bukan 3L BUKAN 8 GELAS !! So sebenarnya berapa jumlahnya? #celotehdrmalar #fypシ #fyp ♬ original sound – CelotehDrMalar

Zat Besi & Zink

Antara mineral yang sering diabaikan oleh rakyat Malaysia ialah zat besi dan zink, demikian kata Dr Malar.

“Kalau tak cukup zat besi dan juga zink, senang dapat anemia, rambut gugur, kulit rapuh, kulit kusam,”

Bagaimanapun, beliau tidak menyarankan pengambilan makanan tambahan zink dan zat besi melainkan melalui preskripsi doktor.

Hal ini kerana perkara itu boleh diperolehi daripada makanan semulajadi seperti daging, ayam, telur, sayur-sayuran hijau dan juga kekacang.

Magnesium

Selain itu, mineral yang sering diambil ringan oleh rakyat Malaysia ialah magnesium, kata Dr Malar merujuk kepada pengalaman peribadinya.

Jelasnya, magnesium diperlukan oleh tubuh manusia sekitar 300 hingga 400 miligram sehari.

“Kalau tak cukup magnesium, selalu orang rasa macam sakit-sakit urat, tarik-tarik dekat betis, rasa berdenyut-denyut. Lepas itu, selalu susah nak tidur malam (insomnia), sakit haid yang terlampau sakit,

Seperti zat besi dan zink, pengambilan magnesium melalui makanan tambahan juga tidak disarankan kecuali atas nasihat doktor kerana ia juga mudah diperoleh secara semulajadi melalui makanan harian.

Antara makanan yang kaya dengan magnesium adalah seperti coklat gelap, mentega kacang dan kacang badam, kata Dr Malar.

Silika

Seterusnya, rakyat Malaysia juga sering terlepas pandang pengambilan mineral silika yang penting untuk pembinaan kolagen di dalam tubuh.

Saranan pengambilan silika adalah lebih kurang 10 hingga 25 miligram sehari, jelas Dr Malar.

“Bagi saya, paling mudah nak dapatkan (silika) melalui air mineral yang dekat label dah tulis ada silika 60 miligram per liter.

“Ataupun boleh juga dapatkan daripada sumber makanan seperti pisang, beras perang, kacang hijau dan lain-lain lagi,”

Pengambilan silika yang cukup sangat bermanfaat untuk kesihatan tulang, sendi, kulit dan rambut agar lebih kukuh dan kuat.

Oleh itu, Dr Malar menyarankan pengambilan air yang cukup setiap hari, namun jumlahnya berbeza bagi setiap individu.

“Jumlah air yang anda perlukan adalah berat badan (kg) x 0.03 = Jumlah air perlu diminum (liter).

“Itulah keperluan air yang tubuh anda perlukan setiap hari.

Menurut panduan pengiraan ini, individu yang mempunyai berat badan 70 kg memerlukan sebanyak 2.1 liter air setiap hari, misalnya.

Jika mengambil contoh individu yang lebih ringan seperti 58 kg, jumlah air yang diperlukannya hanyalah 1.74 liter sehari.

BACA: Santan Tiada Kolestrol, Selama Ini Ia ‘Difitnah’

Published by
Ruszaini Ruslan