Mengantuk dan tidak cukup tidur menjadi wabak global yang mengancam kesihatan serta kualiti hidup masyarakat ketika ini. Bagaimanapun, ramai daripada kita tidak sedar waktu tidur tidak berkualiti boleh menyebabkan pelbagai penyakit seperti angin ahmar, kegagalan jantung, diabetes dan buah pinggang. Gangguan lain termasuk kegagalan jantung, asma dan apnea tidur atau gangguan pernafasan sewaktu tidur. Sebenarnya ia boleh diatasi dan dicegah.
Gangguan tidur adalah masalah kesihatan yang boleh dicegah dan dirawat di setiap negara di dunia bermula dengan kesedaran orang awam terhadap kepentingan waktu tidur yang cukup.
Ada hampir 100 jenis gangguan tidur tetapi ia sebenarnya boleh diatasi dengan bantuan pakar. Individu yang mendapat tidur sepanjang malam tanpa sebarang gangguan mengalami kadar yang lebih rendah mendapat tekanan darah tinggi, diabetes, obesiti dan penyakit kronik lain. Meskipun ia boleh dirawat, kurang satu pertiga daripada pesakit yang berjumpa pakar bagi mendapatkan rawatan. Ia menjadi ‘wabak’ yang mengancam kesihatan serta kualiti hidup kira-kira 45 peratus penduduk dunia. Kajian menunjukkan bahawa kita menghabiskan sehingga satu pertiga daripada kehidupan untuk tidur.
Tidur adalah keperluan asas manusia, sama seperti makan dan minum, dan adalah penting untuk kesihatan secara keseluruhan. Tidur juga seperti senaman dan pemakanan yang penting untuk mengawal metabolisme pada kanak-kanak. Ada bukti yang menunjukkan kaitan antara tempoh tidur dan obesiti kanak-kanak. Hasil kajian ini lebih ketara kepada perempuan. Pernafasan kerap sewaktu tidur adalah penting untuk mengekalkan kesihatan.
Kurang tidur atau tidur yang tidak berkualiti mempunyai kesan negatif yang besar ke atas kesihatan kita dalam jangka masa panjang dan pendek. Antara kesan tidak cukup tidur ialah kesan negatif terhadap tumpuan, ingatan dan pembelajaran. Kesan jangka panjang pula seperti masalah kesihatan yang ketara misalnya obesiti, kencing manis, sistem imun yang lemah juga kanser.
KUAT BERDENGKUR!
Dengkuran boleh menjadi masalah sosial terutama apabila membabitkan pasangan yang terjejas kerana bunyi bising daripada dengkuran itu menyebabkan waktu tidur mereka diganggu sehingga tidak cukup tidur dan mengantuk ketika bekerja. Daripada sudut perubatan, tidur yang terganggu akibat dengkuran juga menyebabkan seseorang tidak cukup rehat, malah ia sebahagian daripada spektrum penyakit berhenti nafas sewaktu tidur akibat salur pernafasan terhalang (OSA) yang menyebabkan masalah kesihatan lebih buruk dalam jangka panjang.
Kesan kesihatan buruk yang biasa dikaitkan dengan masalah dengkuran dan gangguan pernafasan ketika tidur adalah rutin terjejas pada sebelah siang dan penyakit kardiovaskular. Akibat kurang tidur, seseorang jadi mengantuk sepanjang siang dan tertidur tanpa sengaja ketika melakukan aktiviti rutin seperti memandu, menonton televisyen atau bekerja.
Masalah lain kurang tidur seperti tidak segar sebaik bangun tidur, memori merosot dan kurang penumpuan, sakit kepala pada waktu pagi, mood berubah, sistem imun terjejas, demam dan halusinasi. Jika anda diberitahu selalu berdengkur dengan sangat kuat ketika tidur hingga mengganggu orang lain, segeralah berjumpa doktor atau pakar bagi menjalani pemeriksaan.
Ujian dijalankan akan mengenal pasti masalah sebenar dihadapi sama ada dengkuran itu adalah simptom penyakit terhenti bernafas sewaktu tidur (apnea) yang sederhana atau serius. Ini kerana, tidak semua orang yang berdengkur menghadapi masalah apnea, sebaliknya semua orang yang mengalami apnea akan berdengkur. Ujian Skala Tidur Epworth juga boleh dilakukan sendiri bagi mengenal pasti tahap mengantuk pada waktu siang akibat tidak cukup tidur. Dalam skala ini, markah kosong hingga tiga diberi bagi setiap peluang untuk anda tertidur ketika melakukan aktiviti rutin seperti sedang duduk dan membaca, menonton televisyen, bermesyuarat, memandu kereta dan ketika berhenti di lampu isyarat.
Jika markah terkumpul kurang daripada 10, bermakna anda mendapat tidur yang cukup dan andainya markah anda lebih daripada 10, perlu berjumpa doktor atau pakar bagi menjalankan diagnosis seterusnya seperti ujian tidur (polysomnography). Penggunaan alat bantuan oral berbentuk pendakap gigi plastik juga boleh membantu mengatasi masalah dengkuran dan OSA tahap ringan serta sederhana dengan mengelakkan tisu lembut atau otot tekak jatuh ke dalam tekak dan mengganggu corak pernafasan normal.
Penahan ortodontik ini membantu membetulkan kedudukan rahang bawah, lidah, lelangit lembut dan tulang berbentuk U di leher yang menyokong lidah pada tempat yang sepatutnya. Matlamat alat bantuan oral ini adalah untuk menolak rahang bawah ke depan apabila pendakap gigi di bahagian bawah direka mempunyai penyangkut dan disangkut pada pendakap gigi bahagian atas. Dengan ini, alat bantuan oral itu akan menahan otot tekak jatuh ke belakang seterusnya mengekalkan laluan udara terbuka dengan kestabilan lidah dan rahang.
.