Beberapa bulan lalu kita telah mendengar beberapa kes yang melibatkan kematian akibat tidur dalam kereta yang memasang penghawa dingin.
Tapi sebelum anda mula panik terlebih dahulu kami ingin tegaskan di sini ia hanya melibatkan kematian jika berlakunya kebocoran gas beracun yang masuk ke dalam ruang kereta.
Sebagai contoh kes yang berlaku di Sabah apabila dua orang remaja ditemui meninggal dunia di dalam kereta.
Menurut laporan ketika pihak polis tiba di lokasi enjin kereta mereka masih hidup. Cubaan untuk mengejutkan mereka pada awalnya gagal kerana disangka masih tidur dan mereka tidak memberikan apa-apa tindak balas.
Polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan segera dikejarkan ke tempat kejadian. Setelah usaha membuka pintu gagal, pihak Bomba dan Penyelamat tiba untuk memberikan bantuan.
BACA: Elak 9 Makanan Ini Kalau Tak Mahu Jejaskan Ketampanan Lelaki
Selepas pintu berjaya dibuka mereka didapati masih tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik Hospital Kinabatangan.
Punca kematian dipercayai berlaku akibat kekurangan oksigen dan keracunan gas karbon monoksida.
Sebenarnya sudah banyak kes yang melibatkan kejadian kematian seperti ini berlaku. Jadi bagaimanakah ia berlaku?
Seseorang boleh berdepan kematian jika terus bernafas dengan udara sama yang dikitar di dalam kereta. Selain itu jika berlaku kebocoran asap kereta yang masuk ke dalam juga boleh membunuh secara senyap.
Dalam kebanyakan kes, kebocoran beginilah yang menjadi punca kematian utama yang melibatkan tidur dalam kereta dengan penghawa dingin terpasang. Bila karbon monoksida masuk ke dalam kereta kandungan oksigen akan turun dengan mendadak.
Apa yang membuatkan karbon monoksida sangat bahaya ialah ia tidak mempunyai apa-apa bau lalu menyebabkan mangsa tidak mengetahui bahawa udara yang mereka sedut itu cukup bahaya.
Ia betul-betul bertindak seperti silent killer!
Anda mungkin tertanya bagaimana gas karbon monoksida boleh membunuh?
Apabila kita menyedut karbon monoksida ia akan menurunkan kemampuan darah untuk membawa oksigen di dalam sel, lalu menyebabkan ia mati kerana kekurangan oksigen.
Selain keracunan gas karbon monoksida, kerosakan penghawa dingin juga boleh menjadi penyebab. Apabila rosak ia tidak dapat mengitar udara segar di dalam kereta lalu menyebabkan kandungan karbon dioksida meningkat.
Oleh itu periksa dan servis mengikut masa penghawa dingin kereta korang jika ingin mengelak perkara begini berlaku.