Selepas kisah penyokong Harimau Malaya, Derrick Gan menjual motosikal demi menyaksikan Piala Asia menjadi tular, segelintir warga maya mula mempersoalkan adakah benar dia merupakan orang susah.
Susulan itu, Derrick tampil menegaskan yang dia tidak pernah sama sekali mengakui yang dia berasal daripada keluarga yang susah malah tidak pernah meminta apa-apa daripada mana-mana pihak
“Pernah ke saya kata saya orang susah? Adakah saya yang suruh jurukamera rakam saya (ketika perlawanan)? Adakah saya yang minta motosikal tersebut?” kata Derrick menerusi satu hantaran di laman Facebooknya .
Derrick tampil mempertahankan dirinya selepas terdapat komen dari warga maya yang mempertikaikan tindakan beberapa pihak menghadiahkan motosikal kepadanya.
“Siapa yang sangka saya akan tular? Sesetengah orang sangat mahu jadi popular atau tular tetapi tidak berjaya, tapi awak fikir saya akan berjaya kalau saya cuba?,” soalnya.
Bagaimanapun Derrick menganggap situasi itu adalah harga yang perlu dibayar selepas meraih populariti secara tidak sengaja.
“Saya terima apa sahaja yang dikatakan kepada saya sama ada positif ataupun negatif,” katanya.
Tambahnya , Derrick bersedia menerima jika ada mana-mana pihak mahu bekerjasama atas popularitinya itu namun ia mestilah bermanfaat kepada masyarakat.
“Ambil kesempatan ini bukan sahaja untuk promosi jenama, syarikat tetapi untuk bantu orang yang amat memerlukan.
“Kita mungkin boleh bantu orang yang lebih memerlukan daripada saya,” ujarnya.
Terdahulu, kisah Derrick yang sanggup menjual motosikalnya untuk membeli tiket penerbangan bagi menyaksikan perlawanan akhir Kumpulan E antara Malaysia menentang Korea Selatan saingan Piala Asia 2023 di Stadium Al Janoub, Qatar menjadi buah mulut warga maya.
Kisahnya itu mencungkil perhatian beberapa pihak yang tampil mahu menghadiahkan motosikal baharu kepadanya termasuk pemain sayap negara, Faisal Halim.