Senaman tekan tubi atau lebih dikenali sebagai push-up merupakan antara senaman asas namun paling berkesan untuk menguatkan otot teras dan bahagian atas badan.
Tapi percayakah anda, masih ramai individu yang belum mampu melakukan senaman asas ini?
Jika anda adalah salah seorang daripadanya, usah khuatir kerana ada cara yang boleh dilakukan untuk mengatasi perkara ini.
Anda boleh cuba lakukan dua jenis variasi tekan tubi ini bagi membantu anda mencapai tekan tubi sempurna pertama anda.
Ramai beranggapan yang tekan tubi lutut ini merupakan variasi untuk wanita. Ini disebabkan penggunaan lutut untuk menampung berat badan ketika melakukan tekan tubi menjadikan senaman ini lebih mudah dan sering ditujukan kepada wanita.
Posisikan tubuh anda dengan posisi tekan tubi biasa, namun pastikan kedua-dua lutut anda menyentuh tanah. Anda juga boleh melakukannya dalam posisi seperti merangkak.
Walaupun lebih mudah, anda jangan pernah sesekali memandang rendah kepada senaman ini. Bantuan lutut untuk menampung berat badan dalam variasi ini sebenarnya membantu senaman ini menumpukan pada bahagian lengan, dada dan belakang anda terlebih dahulu.
Kekuatan otot dan sendi pada ketiga-tiga bahagian ini sangat penting untuk melakukan gerakan tekan tubi biasa.
Posisikan tubuh anda seperti ingin melakukan tekan tubi biasa dan turun perlahan-lahan sehingga yang anda mampu. Kemudian, tidak perlu menolak badan anda semula ke atas untuk kembali ke posisi awal.
Jangan lupa untuk mengira berapa lama anda boleh menahan tubuh anda sebelum menyentuh tanah. Hal ini kerana anda akan mampu menahan tubuh anda lebih lama jika anda semakin menguasai teknik ini.
Ingat, sentiasa beri keutamaan pada kualiti berbanding kuantiti. Apalah gunanya melakukan tekan tubi yang banyak jika teknik asasnya tidak sempurna. Bukan sahaja ia tidak memaksimakan latihan otot yang sepatutnya, risiko kecederaan juga lebih tinggi jika dilakukan dengan teknik yang salah.