Fesyen

Tidak Cukup Jadi Menteri & Penyampai Radio, KJ Kini Peragawan Baju Melayu Elrah

Share

Menjelang Aidilfitri, jenama-jenama pakaian tradisional tempatan berlumba-lumba melantik selebriti dan pempengaruh untuk memperagakan koleksi busana lebaran masing-masing.

Jenama Baju Melayu Elrah Exclusive juga tidak ketinggalan malah lebih selangkah di hadapan apabila menampilkan bekas Menteri Belia & Sukan Negara, Khairy Jamaluddin sebagai peragawan terbaharunya.

Menerusi perkongsian video-video pendek kempen raya di media sosial Elrah Exclusive, Khairy atau mesra disapa KJ itu dilihat menggayakan Baju Melayu dalam beberapa rona termasuklah rona krim, ungu, merah jambu dan biru laut bersama samping pelbagai warna.

Menurut pengasas Elrah Exclusive iaitu El Azman, tindakan ‘berani’ untuk melantik Khairy itu adalah sebahagian daripada strategi mereka untuk mencipta fenomena Baju Melayu jenama berkenaan.

Sudah Lama Idam Lantik KJ, Kias Pengasas Elrah

Beliau dalam ayat berkias juga menyatakan peluang tersebut telah lama diharapkannya dalam menerusi kapsyen di salah satu hantaran video menunjukkannya berpelukan mesra dengan Khairy sebelum ahli politik itu beransur pulang.

“Matlamat ibarat peluru dalam pistol. Bila sudah tekad hanya tekan picu boom!

“Matlamat kita laksana tanpa fikir apa kata orang yang menghalang kita untuk menarik picu tersebut untuk menuju ultimate goal kita sendiri,” tulisnya.

Meninjau ke ruangan komen pula, warga maya menyambut baik perlantikan Khairy dan sesetengahnya menyifatkan beliau sebagai seorang insan yang mempunyai pelbagai bakat termasuklah sebagai ahli politik, penyampai audio siar (podcast), penyampai radio di Hot FM dan kini sebagai peragawan.

Sesuai dengan takrifan “tall, dark & handsome” yang sering dikaitkan dengan beliau, warga maya menyifatkan penampilan Khairy sangat tepat melambangkan imej lelaki Melayu tempatan yang merupakan sasaran terbesar pakaian tersebut.

BACA: Inteam Nyanyikan Semula “Rabiatul Adawiyah” Bersama Khai Bahar

Published by
Ruszaini Ruslan