Bagi anda yang mungkin sudah ada petanda untuk berdepan masalah berat badan berlebihan, cuba tanya diri sendiri apakah paling sukar untuk turunkan berat badan? Rata-rata pastinya akan menjawab untuk menjaga tabiat makan yang sihat serta memulakan langkah pertama!
Melakukan perubahan mendadak mungkin sangat sukar. Disebabkan itulah anda harus bijak bagaimana untuk berubah dengan berkala sama ada dari segi pemakanan atau senaman. Tapi penting kena mulakan dahulu!
Untuk perkongsian FIT JOURNEY kali ini, MASKULIN telah menemubual seorang lelaki yang pernah berdepan masalah berat badan mencecah sehingga 128kg! Mohd Salihin Bin Md Razak yang bertugas sebagai seorang pengawal keselamatan di sebuah kolej di Negeri Sembilan berkongsi kisah dan pengalamannya untuk menurunkan berat badan bersama MASKULIN.
Cuba bandingkan fotonya yang dahulu dan sekarang. Memang sangat jelas perubahan yang dilaluinya. Ikuti temu bual MASKULIN bersama Salihin di bawah.
TABIAT PEMAKANAN KETIKA MASALAH BERAT BADAN DULU?
Sebelum ini saya jenis yang memang sangat gemar makan pada waktu malam. Kadang-kadang sehingga lewat malam pun saya masih makan lagi terutamanya bila perut sudah berbunyi (ketawa). Sanggup masuk dapur pergi rebus dan masak mi segera.
DAHULU PERNAH BERDEPAN APA-APA MASALAH KESIHATAN?
Alhamdulillah, saya tiada masalah kesihatan yang serius pun. Cuma bila berat badan sudah terlalu berat saya akan berasa mudah penat jika melakukan apa-apa kerja atau tugasa. Kalau bab berpeluh tu usah cakaplah. Memang basah kuyup habis baju.
PERNAH BERASA TERTEKAN DISEBABKAN MASALAH BERAT BADAN?
Ya, kadang-kadang memang rasa tertekan juga. Tapi apa boleh buat itulah jalan yang saya pilih… Asyik rasa nak makan saja dan malas pula nak bersenam.
PERNAH BERDEPAN SITUASI DI MANA ANDA JADI MENGSA EJEKAN ATAU BULU?
Itu satu perkara pasti berlaku. Sejak zaman sekolah rendah lagi saya sudah hadap segala macam ejekan. Malah jadi mangsa gurau senda yang melampun pun saya pernah kena.
APA MEMBUATKAN ANDA INGIN BERUBAH DAN TURUNKAN BERAT BADAN?
Bila saya lihat berita dan kisah Allahyarham Abam Bocey yang meninggal dunia dalam tidur. Ketika itu terlintas di benak fikiran saya mungkinkah perkara itu boleh berlaku kepada saya suatu hari nanti? Selain itu, saya sedar saiz baju dan seluar memang susah nak dapat. Harganya lebih mahal daripada saiz yang biasa.
PERKARA PERTAMA ANDA LAKUKAN UNTUK TURUNKAN BERAT BADAN
Pertama saya tinggalkan tabiat makan hingga lewat malam. Bagi senaman pula saya mulakan dengan berjalan kaki. Dan lakukannya secara berjadual dan ada rutin sendiri.
PERKARA PALING SUKAR UNTUK TURUNKAN BERAT BADAM?
Menjaga amalan dan disiplin pemakanan. Inilah antara perkara paling sukar untuk dilakukan. Kadang-kadang terbabas juga tapi tidaklah terlalu kerap. Paling penting cuba sebaik mungkin untuk jaga pemakanan.
RAHSIA SEBENAR BERJAYA TURUNKAN BERAT BADAN?
Tiada rahsia apa pun. Cauma saya kekal dengan disiplin pemakanan. Saya cuba makan untuk mengikut jadual saja. Makan hanya bila perlu dan berhenti sebelum rasa kenyang.
JIKA RASA MACAM NAK PUTUS ASA, APAKAH PERKARA MEMBANGKITKAN SEMULA SEMANGAT?
Saya akan tengok foto-foto diri sendiri yang lama. Foto ketika saya berdepan masalah berat badan yang serius. InsyaAllah, kesedaran itu akan muncul semula dan buat saya terus berusaha untuk lakukan yang terbaik.
RUTIN PEMAKANAN SEKARANG
Paling lewat pukul 10 pagi saya mabil sarapan dengan kuantiti makanan sederhana. Pada pukul 2 petang pula makan tengahari dengan kuantiti makanan ‘suku suku separuh’. Manakala makan pula saya pastikan makan sebelum maghrib dengan memakan buah-buahan. Mungkin kalau terasa lapar sangat bila malam semakin lewat saya akan bancuh air tea o kosong panas.
TIP UNTUK MEREKA YANG INGINKAN TURUNKAN BERAT BADAN SEPERTI ANDA?
Benda ni kalau nak buat kena ada tekad yang kuat. Harus sentiasa motivasikan diri macam contohnya pujuk hati tu kata esok masih ada untuk makan makanan yang kita suka. Tak perlu nak makan macam hari ini hari terakhir kita untuk hidup di dunia ni pun…
Semoga perkongsian dari Salihin ini mampu memberikan inspirai dan kesedaran untuk anda menurunka berat badan.