Rakyat Malaysia yang teringin menggunakan cermin gelap sepenuhnya (tinted) pada kereta masing-masing nampaknya sudah boleh ‘bergembira’.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membuat pengumuman pemilik yang ingin gunakan cermin gelap sepenuhnya boleh membuat permohonan dengan fi sebanyak RM50.
Sekiranya permohonan tersebut lulus, pemilik perlu membayar RM5,000 kepada JPJ sebagai fi dan penggunaan cermin gelap sepenuhnya itu sah untuk dua tahun.
Selepas tamat tempoh, pemilik boleh membuat permohonan semula dengan fi yang sama serta bayaran yang serupa jika diluluskan pada masa akan datang untuk faktor keselamatan.
Menurut Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook, peraturan sedia ada menetapkan ketelusan cahaya tampak bagi bahagian cermin hadapan kenderaan adalah 70%.
Bagi cermin sisi kiri dan kanan pemandu adalah 50% manakala cermin sisi kiri dan kanan serta cermin belakang penumpang adalah 30%.
Pindaan terbaharu menyatakan ketelusan cahaya tampak menerusi cermin sisi kiri dan kanan penumpang serta cermin belakang kenderaan dibenarkan dengan sebarang kadar peratusan VLT.
Walau bagaimanapun, kebenaran tersebut hanyalah untuk kenderaan motor milik persendirian sahaja.
Kenderaan motor yang didaftar dan digunakan untuk pengangkutan awam dan barangan, kadar ketelusan cahaya tampak tidak boleh kurang dari 70%.
Bagi pemilik atau pemandu yang memerlukan penggunaan cermin gelap sepenuhnya kerana faktor kesihatan, permohonan pengecualian boleh dibuat.
Caranya, mesti dapatkan pengesahan bertulis daripada pakar perubatan kerajaan sekali gus membolehkan pemilik dikecualikan daripada sebarang bayaran berkenaan fi.