The Great Khali of Malaysia. Itulah gelaran yang diberikan kepada Mohd. Azli Hisyam Ab Ghafar, 25, yang memiliki ketinggian sehingga 2.2 meter.
Sehingga kini juga, Mohd. Azli terus memegang rekod peribadi dalam Malaysia Book of Records sejak tahun 2014 dengan keunikan yang tersendiri.
Selain tingginya meningkat dari 2.11 meter kepada 2.2 meter, selepas lima tahun, berat terkini Mohd. Azli yang direkodkan adalah 103 kilogram.
Wartawan terkejut
Ketika ditemui, wartawan Harian Metro, Muhamaad Razis Ismail mengakui agak terkejut melihat ketinggian terkini Mohd. Azli.
Terutamanya apabila Mohd. Azli berdiri, ketinggiannya melepasi paras bumbung hadapan kedai makan milik ayahnya di Gua Musang, Kelantan itu.
Sering jadi perhatian
Biar pun memiliki ketinggian luar biasa, Mohd. Azli menganggap ia sebagai anugerah Allah SWT dan menerimanya dengan hati yang terbuka.
Kongsi Mohd. Azli, dirinya tak yang pernah lekang daripada senyuman itu sering menjadi perhatian dan ramai orang yang ingin bergambar dengannya.
Terpaksa pakai baju saiz xxxxl
Menjalani kehidupan sebagai orang tertinggi, ada kalanya sedikit sukar bagi Mohd. Azli seperti jika mahu memilih pakaian, dia perlu mencari baju bersaiz xxxxl.
Begitu juga dengan selipar dan kasut, Mohd. Azli perlu menempah alas kaki tersebut dengan saiz 16 untuk keselesaannya.
Bantu tukar lampu tanpa gunakan tangga
Selain terpaksa berhati-hati ketika berjalan untuk memastikan kepala tidak terhantuk, ketinggiannya turut membolehkan Mohd. Azli melakukan kerja di tempat tinggi seperti menukar lampu rosak dan mengambil barang tanpa perlu menggunakan tangga.
Katanya yang ditemui wartawan di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Paloh 3 baru-baru ini, sewaktu belajar di Institut Kemahiran Tinggi Bina Negara (IKTBN) Naka, Alor Setar, Kedah pun, dia menerima sebuah katil istimewa mengikut saiz panjangnya.
Ketinggian bertambah sejak usia 14 tahun
Bekas penuntut IKTBN itu berkata, perubahan fizikalnya meningkat sebanyak 20 cm kepada 157 cm berbanding rakan seusia ketika berumur 14 tahun.
Sejak dari itu juga, Mohd. Azli bukan sekadar menerima pelbagai gelaran malah kesemua bajunya jadi ‘mengecil’ kerana perubahan mendadak pada tubuhnya.
Disahkan ada ketumbuhan pada saraf hormon
Tahun lalu, selepas menjalani pemeriksaan, doktor mengesahkan Mohd. Azli memiliki ketumbuhan pada saraf horman berdekatan dengan otak.
Ketumbuhan itu menjadi punca mengapa tumbesaran Mohd. Azli berbeza dengan orang lain namun untuk mengurangkan risiko, ketumbuhan itu selamat dibuang.
Mohd. Azli menjalani pembedahan tersebut di Hospital Sungai Buloh pada Oktober tahun lalu dah sehingga kini, dia masih lagi menjalani rawatan susulan.
Bantu ayah, tunggu tawaran pekerjaan
Mohd. Azli mengimpikan tawaran untuk menjadi seorang kerani untuk meringankan beban keluarga selain dia tidak mampu membuat kerja berat dan berdiri lama.
Sejak menamatkan pengajian di IKTBN dalam kursus penyaman udara, Mohd. Azli hanya membantu ayahnya di kedai makan kerana belum mendapat sebarang tawaran pekerjaan.
Sumber : Harian Metro