Berita

Thailand Benarkan Perkahwinan Sejantina, Negara Pertama Iktiraf Ideologi Songsang Di Asia Tenggara

Share

Negara Thailand secara rasminya telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) perkahwinan sejantina, demikian lapor CNN.

Keputusan itu menjadikan Thailand negara pertama di rantau Asia Tenggara yang mengiktiraf kesaksamaan perkahwinan sesama jantina bagi komuniti lesbian, gay, biseksual, trasgender dan pelik (LGBTQ).

RUU itu diluluskan selepas pengundian secara besar-besaran oleh Senat, dengan sejumlah 130 undian yang menyokong berbanding hanya empat undian yang menentang dari ahli senator.

Ia sekaligus menjadikan Thailand sebagai negara ketiga di benua Asia yang menghalalkan perkahwinan songsang itu selepas Taiwan pada 2019 dan Nepal pada 2023.

Sumber foto: CNN (Gambar sekadar hiasan).

Dengan RUU yang diluluskan ini, Thailand bersetuju memberikan pasangan songsang hak dan pengiktirafan undang-undang yang sama seperti pasangan normal, termasuk hak yang berkaitan dengan pewarisan, anak angkat dan membuat keputusan penjagaan kesihatan.

PERLU PENGESAHAN RAJA THAILAND

Bagaimanapun, RUU ini masih memerlukan pengesahan Raja Thailand sebagai sebahagian daripada prosedur formal sebelum pengiktirafan berkenaan berkuat kuasa dalam tempoh 120 hari selepas ia diterbitkan dalam Warta Diraja.

Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin terdahulu lantang memberikan sokongan kepada komuniti LGBTQ+ dan berjanji untuk melaksanakan perubahan itu atas dasar “mengukuhkan struktur kekeluargaan” di negara itu.

Keputusan Thailand itu sedikit sebanyak mengukuhkan kenyataan bekas Perdana Menteri Malaysia

yang menyebut bagaimana konsep perkahwinan dan kekeluargaan sudah tidak dimuliakan lagi disebabkan ideologi songsang dari Barat ini.

Kini, tindakan seperti perkahwinan sejenis, pengenalan diri tanpa jantina bukan lagi dianggap budaya baharu, namun sudah menjadi normal kerana Barat menghapuskan nilai-nilai hidup dahulu atas nama kebebasan dan kesamaan, demikian luah Tun Mahathir.

Menurut Tun Mahathir lagi, perkara ini bermula di zaman revolusi Perancis iaitu rakyat tidak mempunyai hak dan pemerintah di Barat serta Timur berbentuk raja yang berkuasa mutlak menyebabkan berlaku kezaliman.

Oleh itu, rakyat mula menuntut hak yang sama serta kebebasan.

Walaupun tuntutan rakyat sangat adil dan bertimbang rasa namun ahli pemikir berpendapat sekadar memiliki hak persamaan adalah tidak cukup kerana banyak lagi kelainan dan kurangnya kebebasan.

Maka bermulalah gerakan untuk mengenal pasti perbezaan layanan dalam masyarakat manusia supaya dapat dikurangkan dan tuntutan dibuat supaya apa yang boleh dilakukan lelaki, perempuan juga boleh.

Sumber: CNN

BACA: Perkembangan Kelompok Songsang, Tun Mahathir Pesan Hati-Hati Jika Hantar Anak Ke Eropah

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

 

 

Published by
Ruszaini Ruslan