Teringin Nak Jadi Pelakon? Baca 12 Tips Penting Daripada Production Manager Ini!

Share

Sesetengah orang memang ada memasang niat untuk bergelar seorang pelakon namun realitinya, tidak ramai yang tahu tentang cabaran yang bakal dihadapi.

Dalam erti kata lain, tidak semua berpeluang menjadi ‘bintang’ malah ada yang masih kekal merangkak sebagai ‘extra’ biar pun sudah ratusan filem atau drama disertainya.

Namun begitu, jika anda berjaya menempatkan diri sebagai seorang pelakon yang kekal relevan tanpa terpalit sebarang kontroversi yang melampau, itu sudah menjadi satu pencapaian yang baik.

Menerusi entri kali ini, penulis telah menemu bual salah seorang production manager (PM) yang telah lama terlibat dalam bidang seni, Aimi Said.

Selain pernah terlibat sebagai pengurus artis dalam bidang muzik suatu ketika dahulu, Aimi yang berusia 37 tahun baru-baru ini telah menggalas tanggungjawab sebagai PM kepada sebuah drama bersiri yang sedang top antaranya Pujaan Hati Kanda yang ditayangkan di TV3.

Ketika ditemu bual, Aimi telah berkongsi 11 tips dan info ini sangat penting buat mereka yang ikhlas ingin menyertai bidang lakonan :

1. Miliki kepelbagaian teknik lakonan

Sebagai seorang pelakon, teknik lakonan merupakan sesuatu yang amat penting. Setiap pelakon harus bijak menyesuaikan diri dengan watak yang dibawa untuk memantapkan gaya lakonan tersebut seiring dengan skrip yang diberikan.

2. Harus jadi kreatif

Seorang pelakon harus pandai mencipta kaedah lakonan mengikut kreativiti sendiri dan  penciptaan ini boleh meluaskan lagi serta menambah pengetahuan pelakon tersebut bagi menyiapkan diri untuk menjadi seorang pelakon yang hebat.

3. Letakkan diri dalam dilemma

Seseorang pelakon memerlukan dilemma untuk menjayakan sesuatu watak. Hal ini kerana dilemma merupakan antara method yang paling baik untuk menghidupkan watak kerana ia menyebabkan pelakon ‘terpaksa’ masuk ke dalam watak yang diberikan.

4. Faham karakter

Pelakon harus memahami sesuatu karakter yang dibawa. Perkara ini akan memudahkan dia berkomunikasi dan menyampaikan sesuatu kepada penonton dengan penuh perasaan dan emosi itu dapat dirasai bersama.

5. Study watak sebaik mungkin

Bukan sahaja pelajar malah pelakon juga harus membuat homework sebelum masuk ke dalam dunia lakonan tersebut. Seseorang pelakon itu perlu rajin menganalisis, memahami dan tahu tentang latar belakang watak yang dibawanya.

6. Hadam teks dan skrip

Apabila terpilih untuk memegang sesuatu watak dan diberikan skrip, pelakon harus memahami teks tersebut dari mula pembacaan skrip sehinggalah ke pengakhirannya. Perkara utama yang perlu dilakukan adalah mengadaptasi teks tersebut.

7. Jaga attitude di set

Untuk kekal relevan dalam industri, attitude semasa di set penggambaran harus dijaga. Anda harus tahu yang apabila anda belakon, anda hanya dibayar gaji untuk bekerja. Maka, patuh dan ikut arahan. Populariti juga akan datang daripada hasil kerja yang dibuat.

8. Jangan demand melampau

Tidak salah untuk seseorang pelakon itu demand harga mengikut kadar yang bersesuaian. Tetapi jika melampau-lampau, susah untuk PM menawarkan job. Kebiasaannya, jika seseorang pelakon itu tidak berkira tetapi senang terima bayaran yang berpatutan, penerbit dan PM juga akan mudah untuk memberikan job yang lain.

9. Buang sifat sombong dan bajet popular

Jangan bersikap sombong dan pandang rendah terhadap kru filem dan sesiapa sahaja yang berada di set penggambara. Anda perlu tahu bahawa anda jadi terkenal menerusi komitmen orang yang berkerja di dalam set yang sama.

10. Jaga calltime

Menjadi seorang pelakon, bukan bermaksud anda bekerja mengikut waktu pejabat masuk 8 pagi balik 6 petang atau kerja 10 pagi balik 10 malam. Bekerja sebagai seorang pelakon memang tidak tentu masanya. Justeru, calltime sangat penting untuk tidak mengganggu jadual penggambaran yang dirancang.

11. Sediakan wardrobe

Seseorang pelakon itu harus faham bahawa wardrobe (pakaian) seharusnya disediakan oleh pelakon itu sendiri dan bukannya daripada pihak produksi. PA pelakon seharusnya alert untuk menyediakan wardrobe sendiri atau tajaan untuk pelakon yang dijaganya dan bukannya datang set lengang kangkong dan tidak beterima kasih tetapi hanya tahu complaint sahaja itu dan ini.

12. Kerja kuat dan ikhlas

Memang untuk menjadi seorang pelakon itu harus mempunyai aura, bakat dan peminat tersendiri. Tetapi pada masa ini, formula itu sudah tidak menjadi. Ia memerlukan keikhlasan, kerja kuat dan sentiasa merendah diri secara konsisten untuk memastikan seseorang itu kekal relevan sepanjang masa.

Nampak macam mudah bukan? Glamournya dunia artis. Tetapi di sebalik tabir, itulah kisah realiti yang perlu dihadap dan dijadikan sebagai tanggungjawab.

Kongsi Aimi, jika berdepan dengan pelakon yang bijak dan pandai menyesuaikan diri, syukurlah untuk kesemua kru produksi yang bekerja.

Jika tidak, pasti akan berdepan dengan mereka yang lupa diri dan meminta itu dan ini untuk disediakan segala keperluan mereka.

“Ingat harga yang dibayar kepada anda sudah cukup tinggi dan anda cuma bekerja makan gaji sebagai seorang pelakon.

“Perkongsian ini bukan untuk mereka yang sudah berada dalam industri sahaja malah khas buat mereka yang memasang niat untuk bergelar seorang bintang,” ujar Aimi.

Aimi yang suatu ketika dahulu pernah bertugas sebagai pegawai polis menegaskan, dalam pekerjaan sebegini, anda seharusnya memasang niat untuk mencari rezeki bukannya jalan pintas untuk dikenali namun akhirnya, membuatkan anda lupa diri.

Published by
Akyem Samad