Kesihatan

Terduduk Selepas Disahkan Hidap Kanser Testis, Kini Marc Syahmie Bertekad Mahu Bangkit Semula

Share

Marc Syahmie, pelakon baharu yang semakin menempa nama dalam dunia seni tanah air, tak sangka masalah sakit belakang dialaminya selama hampir setahun dan bengkak di sebelah testis merupakan petanda awal kepada sesuatu yang lebih serius.

Pada usia usia 25 tahun, dia disahkan menghidap kanser testis tahap dua. Marc, atau nama sebenarnya Ahmad Syahmie Mahayudin, mengakui hidupnya berubah sekelip mata setelah menerima berita tersebut.

Foto: Instagram Marc Syahmie

“Saya terduduk juga apabila disahkan ada kanser. Dalam hati tertanya-tanya kenapa saya, sedangkan saya masih muda dan tidak ada sejarah sakit kanser pun dalam kalangan keluarga.

“Keluarga juga terkejut, tetapi apabila saya fikir sakit adalah penghapus dosa, saya mula berlapang dada dan berdamai dengan takdir,” katanya penuh ketabahan.

Namun, dalam ujian itu, ada sisi positif. Kanser yang dialaminya dikesan lebih awal, membolehkan tindakan segera diambil sebelum ia merebak ke bahagian badan lain.

Bertarung Dengan Takdir

Dalam masa sebulan selepas disahkan menghidap kanser, Marc mengambil langkah pantas menjalani pembedahan untuk membuang sel kanser di testis kirinya. Marc juga perlu menjalani satu sesi rawatan kimoterapi dengan dos tertinggi.

“Alhamdulillah, saya hanya perlu melakukan kimoterapi sekali sahaja. Walaupun kesannya agak berat pada badan seperti rasa loya dan keletihan, saya bersyukur kerana seminggu selepas rawatan, saya sudah mampu menjalani kehidupan seperti biasa.

“Doktor juga memberitahu, peluang saya untuk sembuh sepenuhnya sangat tinggi kerana usia saya yang masih muda,” ujar Marc dengan penuh kesyukuran.

Walaupun penyakit itu membawa stigma tertentu, Marc bertekad untuk berkongsi pengalaman bagi meningkatkan kesedaran kaum lelaki tentang bahaya kanser testis.

“Jujur mulanya saya rasa malu, tetapi saya sedar, jika saya tidak berkongsi, ramai lelaki di luar sana mungkin tidak tahu.

“Kanser testis boleh menyerang lelaki muda berusia 25 tahun ke atas. Jika dapat dikesan awal, nyawa boleh diselamatkan, dan kualiti kehidupan akan lebih baik.

“Saya menyeru lelaki yang mengalami sebarang perubahan abnormal pada tubuh supaya segera melakukan pemeriksaan. Jangan seperti saya yang menafikan simptom selama setahun,” tegas Marc.

Syukur Dapat Peluang Kedua

Menurutnya, meskipun beliau telah kehilangan testis kiri akibat pembedahan, kehidupannya tetap normal. Malah, beliau yakin masih mampu menjalani kehidupan seperti biasa, berkahwin, dan memiliki anak.

Foto: Instagram Marc Syahmie

“Inilah yang ramai takutkan. Dengan teknologi perubatan sekarang, bekas pesakit kanser dapat menjalani kehidupan yang berkualiti.

“Doktor juga yakin saya akan pulih sepenuhnya dalam tempoh setahun,” jelasnya lagi.

Bakat Marc mula dikesan menerusi program pencarian bakat Fit For Action di TV3 pada tahun 2022. Selepas memenangi tempat kedua, beliau terus melangkah ke dunia lakonan dan juga modeling.

Dalam tempoh dua tahun, Marc telah membintangi beberapa drama seperti ‘Geng Daddy Daddy’, ‘Cinta Kedua’, ‘Keria Women’, ‘Bintang GV Dikejar Zombie’, ‘Hati Terpaut Sayang’, dan terbaharu ‘Skuad X: Dari Jalanan Ke Perjuangan’ yang kini sedang ditayangkan menerusi slot Lestary TV3.

Selain sibuk di pentas seni, Marc juga sedang melanjutkan pengajian dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam.

Inspirasi Untuk Lelaki

Bagi Marc, ujian kanser yang dilaluinya bukanlah penghalang untuk mengejar impian. Sebaliknya, ia menjadikannya lebih menghargai kehidupan.

“Kanser bukan penamat kehidupan. Saya anggap ini peluang kedua untuk menikmati hidup dan meneruskan kerjaya dalam bidang seni.

“Ia membuatkan saya lebih bersyukur dan melihat kehidupan dari sudut yang berbeza. Saya ingin menggunakan masa yang ada sebaik mungkin,” kata Marc, penuh azam.

BACA: Episod 2 ‘MASKULIN Who’s Your Bro’, Uji Kekuatan Bros Dengan Cabaran Metal Mania

Marc Syahmie boleh menjadi inspirasi buat lelaki terutamanya golongan muda. Dia membuktikan dengan kekuatan dan semangat mampu membawa seseorang keluar dari kegelapan, kembali bersinar di pentas kehidupan.

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

Published by
Farizul Izwany Ibrahim