Kepetahannya berbicara dalam pelbagai bahasa menjadikan hos dan selebriti serba berbakat, Baki Zainal dipilih oleh jenama isi rumah popular, Eco-Shop sebagai duta terbaru mereka.
Menerusi kenyataan media dari Baki Zainal Entertainment, kolaborasi menarik antara Baki Zainal dan Eco-Shop Marketing Sdn Bhd menyaksikan di mana dia akan memainkan peranan sebagai Duta Masyarakat Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) untuk Eco-Shop.
Sebagai seseorang yang sentiasa komited dalam melindungi alam kelestarian terutamanya lautan kita dan memupuk perubahan positif dalam kebajikan masyarakat, komitmen Baki Zainal sejajar dengan visi Eco-Shop ke arah perubahan persekitaran yang lebih mampan dan positif.
Bukan itu sahaja, malah pengaruh dan kesungguhan beliau terhadap amalan mesra alam juga selari dengan visi Eco-Shop dalam mewujudkan masa depan yang lebih hijau dan lestari.
Sebagai Duta CSR, Baki Zainal akan memainkan peranan penting dalam menggerakkan pelbagai inisiatif kelestarian, berinteraksi dengan komuniti, dan mempromosikan kesedaran alam sekitar melalui kempen dan acara pendidikan.
“Saya berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada misi Eco-Shop dalam memperjuangkan amalan lestari.
“Kerjasama ini memberikan peluang yang luar biasa untuk memberi inspirasi kepada perubahan positif dan memperkasakan individu untuk mengamalkan gaya hidup mesra alam,” jelasnya.
Dalam pada itu, pihak Eco-Shop turut memaklumkan bahawa sumbangan pelbagai aspek Baki Zainal dalam pemerkasaan gaya hidup berwawasan ini telah menjulang beliau sebagai duta utama.
Kedua-dua belah pihak juga amat mengharapkan agar inisiatif yang digerakkan ini mampu memberi impak dan mewujudkan legasi dalam perubahan positif untuk alam sekitar dan juga komuniti.
Dengan kerjasama baharu ini, Baki Zainal akan memimpin langkah pertama Eco-Shop ke arah kemampanan dengan melancarkan kempen revolusioner mereka, “No Plastic, Go Eco.”
Langkah ini tidak hanya akan meningkatkan kesedaran, tetapi juga memberi inspirasi kepada pelanggan Eco-Shop dan komuniti Malaysia untuk menerapkan amalan mesra alam dengan menghentikan penggunaan beg plastik di kedai mereka.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.