Antara cabaran yang ramai dihadapai oleh kita terutamanya lelaki bujang sepanjang bulan Ramadan ialah untuk bangun bersahur. Kalau tidak kena gaya memang akan terlajak tidur dan gagal bangun bersahur.
Bila itu berlaku mahu atau tidak terpaksalah berpuasa dengan penuh dugaan sepanjang hari dengan perut yang kosong.
Di seluruh dunia, umat Islam memparaktikan pelbagai cara untuk bangun sahur. Malah di beberapa buah negara ia seakan menjadi tradisi dalam komuniti untuk mengejutkan orang bangun sahur.
Di Indonesia, kita sering lihat video-video tular di laman media sosial bagaimana mereka dengan pelbagai cara unik mengejutkan jiran tetangga untuk bangun sahur.
Ada yang menggunakan gendang. Tidak kurang juga yang berselawat atau bernyanyi ramai-ramai.
Namun lain pula pendekatan yang dilakukan oleh seorang lelaki dari Megelang Jawa Tengah. Dia mendapat idea untuk menawarkan khidmat mengejutkan orang untuk bangun sahur dengan panggilan telefon.
Jejaka bernama Khoirul Anam itu dilihat mempromosikan perkhidmatannya menerusi laman Instagram kendaliannya @anam_chenel. Memetik laporan Tribunnews, perkhidmatan unik yang ditawarkan oleh Khoirul Anem itu mendapat perhatian warganet. Ini kerana dia telah berjaya mendapatkan seramai 11 orang pelanggan buat pertama kalinya.
Jelasnya, “Pada puasa pertama, ramai yang hubungi saya untuk bantu kejutkan bersahur. Anggaran dalam 11 orang. Bagaimanapun hanya tiga orang sahaja mengangkat telefon, selebihnya masih lena. Saya telah hubungi mereka sebanyak tiga kali, jika tidak bangun, saya hubungi orang lain,” katanya.
TRambahnya lagi perkhidmatan itu adalah percuma di seluruh Indonesia. “Ya, saya memang lakukan secara percuma, kalau mengenakan bayaran bimbang saya tertidur. Kalau percuma sama-sama tidak rugi.
“Saya akan hubungi mereka bermula jam 2 pagi hingga waktu Imsak dan ingin saya tegaskan, ia hanya dilaksanakan sepanjang Ramadan sahaja,” ujarnya yang gembira kerana ramai memberi sokongan terhadapnya.
Hebahan promosi perkhidmatan ‘jasa bangun sahur’ yang ditawarkan olehnya menjadi bualan hangat warganet. Rata-rata menyifatkan ia satu usaha yang unik selain memudahkan golongan bujang bangun untuk bersahur bagi menjalani ibadah puasa.