Tanya Soalan & Selidik Program Yang Dijalankan, Ini Antara Startegi Pilih Coach Untuk Bina Badan!

Share

Jurulatih peribadi merupakan salah satu jawatan yang makin mendapat perhatian masyarakat.

Seolah-olah sesiapa sahaja boleh menyandang jawatan tersebut, asalkan mempunyai badan yang tegap, sasa dan berotot, ia menjadi tiket untuk mencari rezeki melaluinya.

Jangan sesekali anda menganggap semua jurulatih peribadi di mana-mana gym sekalipun layak menyandangnya kerana seperti juga jawatan lain, pastinya ada syarat-syarat dan kelayakan tertentu.

Banyak isu dan kes yang melibatkan jurulatih kecergasan terpesong dari tuntutan sebenar jawatan itu. Berikut adalah 10 tip untuk anda memilih jurulatih kecergasan terbaik buat anda.

1. FIZIKAL
Yang pastinya anda perlu mengkaji dan melihat sendiri imej luaran jurulatih tersebut. Dari segi fizikal, sudah pastinya anda boleh mengagak sama ada individu tersebut layak atau tidak.

Sekiranya fizikal jurulatih tersebut mencurigakan, ada baiknya untuk anda teruskan mencari yang lain. Aspek fizikal luaran ini penting untuk anda menilai sejauhmana kemampuan mereka.

2. TANYAKAN SOALAN
Ini ialah strategi utama untuk anda memilih jurulatih kecergasan yang sesuai. Soalan, apa yang perlu ditanya? Tanyakan apa-apa sahaja soalan tidak kiralah sama ada ia melibatkan fitness, gim mahupun kesihatan.

Uji minda dan kepakaran individu tersebut menjawab soalan anda. Dan sekiranya ada masa individu tersebut seolah-olah teraga-agak menjawabnya, baik anda lupakan sahaja.

3. SELIDIK PROGRAM YANG DIJALANKAN
Banyak pusat kecergasan di luar sana ternyata gagal mengemudi program yang dijalankan sehingga melibatkan kecederaan serta kesakitan bagi mereka yang menjalaninya.

Disini, anda sendiri perlu mengkaji sendiri sama ada program kecergasan yang disyorkan menepati dengan kesesuaian dan kemampuan diri anda sendiri.

Jangan pula kerana terlalu teruja ingin mendapatkan badan yang cantik dan sasa, anda sanggup mengambil risiko. Pilih jurulatih yang memahami daya dan ketahanan tubuh badan anda.

4. KESERASIAN
Keserasiaan itu amat perlu. Ini tidak bermaksud keserasian dalam perhubungan intim, seksual mahupun peribadi.

Cuma, keserasian itu penting bagi anda dan juga jurulatih tersebut untuk mendapatkan keputusan yang terbaik.

Jika anda merasakan jurulatih kecergasan tersebut tidak serasi dengan jiwa dan diri anda, ada baiknya anda berhenti dan mulai cari jurulatih yang lain.

5. JALANI LATIHAN PERCUBAAN
Jangan takut untuk meminta. Pastinya anda boleh meminta untuk menjalani latihan percubaan terlebih dahulu. Langkah ini penting bagi anda untuk menilai sejauh mana kemampuan anda terutama sekali jika anda inginkan latihan long-term arrangement.

Anda boleh menjalani beberapa latihan dan pada masa yang sama ia amat bagus untuk anda mendapatkan keserasian dengan jurulatih kecergasan tersebut.

6. KAJI LATAR BELAKANG
Ini juga langkah penting yang anda boleh lakukan. Kaji selidik latar belakang jurulatih kecergasan tersebut terlebih dahulu.

Anda tidak perlu menyelidik latar belakang perbadinya cuma anda perlu bijak untuk mengetahui mengenai potensi, dedikasi dan kebolehannya.

Anda boleh bertanya kepada pihak pengurusan gim tersebut ataupun sesiapa sahaja yang bekerja di sana.

7. SELIDIK MANA-MANA KEJAYAAN YANG LEPAS
Anda juga boleh tanyakan pada jurulatih kecergasan tersebut mahupun sesiapa sahaja siapa klien-klien mereka yang lepas.

Mana tahu anda mungkin akan mendapat recommendation daripada mereka. Ini penting bagi anda untuk melihat sejauh mana kemampuan dan dedikasi jurulatih tersebut dari klien yang pernah bekerjasama. Dan adakalanya ia amat penting bagi anda untuk meninjau semula sejauh mana kelayakkan mereka.

8. ‘OBSERVE’
Ini merupakan tip yang paling utama. Bayangkan anda sudah pun mendaftar di gim tersebut, anda boleh juga amati potensi jurulatih kecergasan yang lain di gim tersebut.

Amati cara mereka melayan dan melatih klien. Dengan cara ini, anda dapatlah membezakan dan bandingkan cara dan gaya mereka dari segi potensi, dedikasi, semangat, emosi dan lain-lain.

Dan sekiranya anda punya peluang, luangkan masa untuk berbicara dengan klien tersebut sejauh mana kemampuan jurulatih mereka itu.

9. DEMAND 100% PERHATIAN
Ini juga amat penting dari anda sendiri mahupun jurulatih tersebut. Perhatian yang maksimum sangat penting terutama sekali bagi para jurulatih yang melatih anda. Anda semestinya tidak mahu ada gangguan mahupun ‘selingan’ yang boleh mengugat konsentrasi anda seperti bersms, bual-bual kosong, menjawab sebarang panggilan dan lain-lain . Jikalau boleh, utarakan permintaan anda ini sebelum anda mula berlatih.

10. KELAYAKAN
Dan akhir sekali, semua jurulatih kecergasan peribadi di mana-mana gim sekalipun perlukan kelayakan. Ini juga perlu anda titikberatkan, walaupun di masa kini amat mudah dan senang bagi seseorang untuk menjadi jurulatih tanpa perlu sebarang pengiktirafan.

Di sini, anda boleh tanyakan kepada pihak pengurusan di gim anda mendaftar. Banyak organisasi yang terlibat dalam mengiktirafkan jurulatih kecergasan di Malaysia. Antaranya Federation of International Sports, Aerobics and Fitness (FISAF), American Council of Exercise (ACE), ataupun National Association of Fitness Instructor (NAFI) di Malaysia.

Published by
L.A