Penjagaan Diri

Tanam Dan Cipta Jambang Hukumnya DILARANG Kecuali Tujuan Perubatan!

Share

Kadangkala lelaki yang tidak mempunyai jambang ini pastinya sedikit sebanyak cemburu melihat artis atau rakan-rakan mereka yang tampil kacak dengan gaya ini.

Sama ada mahu terima atau tidak, selain wajah bebas jerawat dan kulit yang licin, janggut atau jambang juga memainkan peranan yang besar untuk menaikkan peratus kacak seorang lelaki!

Namun tanpa mereka sedari, ada satu perkara yang diambil remeh. Contohnya soal hukum. Kita ambil trend yang semakin mendapat tempat di kalangan lelaki iaitu trend tanam jambang.

Namun, apa hukumnya bagi lelaki yang secara hakikinya tidak ditumbuhi jambang.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) menerusi artikel sebelum ini menegaskan, mencipta jambang dengan kaedah menanam semata-mata ingin menjaga imej adalah dilarang dalam Islam.

Menurutnya, rawatan kosmetik yang boleh mengubah ciptaan hanya boleh diterima pada situasi keperluan mendesak dan bukan semata-mata untuk kecantikan (tahsiniyyah).

“Sekiranya tujuan menanam jambang kerana kecacatan atau kesan terbakar, ditimpa penyakit dan seumpamanya yang menyebabkan kerosakan pada jambangnya, maka ia diharuskan.

“Perkara itu diharuskan bagi membaik pulih keadaan jambangnya dengan syarat diambil bulu daripada bahagian tubuhnya sahaja,” katanya.

Susulan itu, pihaknya menasihati kepada mana-mana doktor kecantikan dan perubatan yang pakar dalam dalam bidang tersebut agar mengenal pasti pelanggan yang datang untuk menanam jambang.

Jelasnya lagi, pakar hanya boleh menerima pelanggan yang menepati syarat-syarat telah ditetapkan oleh syarak, iaitu tujuan penyembuhan penyakit atau menghilangkan aib.

Tambah PMWP lagi, proses tanam jambang melibatkan pemindahan helaian bulu yang diambil daripada satu bahagian badan dan dipindahkan ke garis rahang di mana sahaja agar dapat tumbuh.

“Menanam jambang bagi mereka yang tiada jambang berbeza dengan mereka yang sedia tumbuh jambang secara fitrah.

“Bahkan mereka yang semula jadi tumbuh janggut mahupun jambang digalakkan untuk membiarkan janggut terus tumbuh secara semula jadi,” katanya.

Sumber : 1

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

 

Published by
Nana