Pasti seronok apabila kita diundang untuk menghadiri majlis perkahwinan. Apa tidaknya, pasangan pengantin mahukan kita untuk turut serta meraikan salah satu hari yang paling bersejarah di dalam hidupnya. Memetik laman sesawang rasmi Mufti Wilayah Persekutuan, memenuhi undangan perkahwinan adalah wajib bagi umat Islam melainkan mempunyai beberapa halangan tertentu.
Di sini Maskulin kongsikan beberapa pakaian yang boleh dipertimbangkan oleh para lelaki yang ingin menghadiri majlis perkahwinan.
Pakaian tradisional kebangsaan ini adalah pilihan paling selamat bagi para lelaki. Sudah pasti setiap lelaki memiliki sekurang-kurangnya sepasang baju Melayu di dalam almari mereka. Sama ada jenis Cekak Musang mahupun Teluk Belanga, kedua-duanya tidak pernah gagal untuk membuatkan lelaki kelihatan segak. Dipakai begitu sahaja sudah memadai, apatah lagi jika dilengkapi dengan samping serta songkok. Bagaimanapun, elakkan memakai warna putih. Bimbang anda disalah anggap sebagai pengantin pula.
Bagi sesetengah lelaki, baju Melayu perlu dipakai lengkap bersamping serta songkok untuk menyempurnakan penampilan. Namun mereka juga tidak gemar memakai sebegitu kerana kurang selesa, apatah lagi jika majlis berlangsung di luar. Oleh itu, kurta adalah salah satu pilihan yang boleh dipertimbangkan. Pemakaian kurta adalah lebih santai berbanding baju Melayu, namun masih mengekalkan ciri-ciri ketampanan klasik seorang jejaka Melayu. Lebih menarik, kurta boleh dipadankan dengan pelbagai jenis seluar seperti khaki atau slack.
Kemeja juga adalah pilihan yang selamat untuk menghadiri apa-apa majlis sekalipun. Lebih menarik, ia sesuai digayakan ke majlis perkahwinan mana-mana kaum. Tetap tampil kasual namun kemas jika dipakai dimasukkan ke dalam seluar (tucked-in
) ataupun dibiarkan begitu sahaja (lay-out). Untuk penampilan yang lebih santai, lipat sedikit lengan baju anda kira-kira ke paras siku.Selain kemeja biasa, kemeja batik juga sudah semakin popular dikalangan lelaki kini. Selain tampak kemas dan selesa, pelbagai variasi corak batik moden juga membuatkan para jejaka tampil lebih unik. Kemeja batik berlengan panjang adalah pilihan yang klasik, manakala kemeja batik berlengan pendek pula lebih digemari oleh lelaki yang lebih muda.
Bagi sesetengah majlis perkahwinan yang berlangsung di lokasi yang lebih ekslusif dan formal, anda mungkin perlu mempertimbangkan pemakaian suit. Jika anda bimbang pemakaian suit mungkin agak berlebihan, anda boleh tampil secara separa formal tanpa perlu mengenakan tali leher atau bow-tie. Namun jika itu juga masih berlebihan, anda ada pilihan untuk menanggalkan blazer dan tampil dengan hanya berkemeja tucked-in
sahaja.Apabila diundang, penting untuk kita mengambil tahu apakah tatacara pemakaian yang perlu dipatuhi agar kita boleh hadir dengan pakaian yang sesuai. Jika tiada tatacara pemakaian sekalipun, hadirlah dengan berpakaian kemas dan sopan.
Sudah semestinya tiada tuan rumah yang tergamak untuk menghalau anda jika anda hadir tanpa berpakaian yang kurang sesuai. Namun sebagai tetamu, mengambil sedikit usaha untuk tampil segak di majlis berkenaan juga adalah salah satu adab kita sebagai tetamu menghormati tuan rumah serta berterima kasih atas undangan mereka.