Tidak dinafikan kesengsaraan yang dihadapi oleh saudara kita di Palestin telah banyak membuatkan ramai di antara rakyat Malaysia terkesan. Namun dalam apa tindakan sekali pun, kita harus mungkin tidak terlalu dibawa emosi. Itulah satu kesilapan yang mungkin dilakukan lelaki ini yang tampal bendera negara haram, Israel di sebuah restoran makan segera terkenal.
Seorang lelaki berusia 25 tahun telah dijatuhi hukuman denda sebanyak RM100 oleh Mahkamah Majistret di Kajang kerana menampal pelekat bendera Israel.
Memetik laporan Sinar Harian, lelaki bernama Tariq Hazim Mohd Yusri berkata, “Saya tampal bendera Israel di kedai makanan segera itu sebab saya marah, selepas ada keluarga saya meninggal dunia di Palestin”.
Lelaki tersebut yang merupakan pekerja sambilan sewa kereta ini dijatuhi hukuman tersebut setelah mengaku bersalah di hadapan Majistret Nurul Hafzan Ab Aziz atas pertuduhan yang dikenakan.
Mahkamah juga memerintahkan Tariq dipenjara selama sehari sekiranya dia gagal membayar denda berkenaan.
Majistret Nurul Hafzan memberikan nasihat sebelum menjatuhkan hukuman, “Kalau kamu buat begitu, adakah ia akan menjadi keadaan yang lebih baik?”
Mengikut pertuduhan, Tariq yang memakai baju kemeja didakwa meletakkan pelekat bendera Israel di sebuah restoran makanan segera di Batu 10, Jalan Hulu Langat pada jam 4.42 petang, 29 Mei lalu, yang boleh mengganggu ketenteraman pekerja di sana.
Pertuduhan ini dibuat mengikut Seksyen 14, Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955, yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100 jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, seorang pekerja wanita di restoran tersebut menyedari pelekat Israel ditampal pada lantai, kaki lima dan pintu masuk premis ketika hendak ke tandas.
Dia kemudian memaklumkan kepada pengurusnya dan hasil pemeriksaan CCTV menunjukkan Tariq melakukan perbuatan tersebut sebelum beredar dengan kereta.
Dalam pembicaraan peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nabilla Rosli, merayu agar Tariq dikenakan hukuman minimum dengan alasan tertuduh menyesal dengan perbuatannya.
“Dia insaf dan perlu menyara isteri yang juga seorang suri rumah termasuk mentuanya yang merupakan ibu tunggal. Ibunya pula mempunyai penyakit gout sementara bapanya mengalami penyakit jantung,” katanya.
Namun, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Husna Amran memohon agar Tariq dikenakan hukuman setimpal demi kepentingan awam agar dia tidak mengulangi kesalahan yang sama di masa hadapan.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.